Wanita MCA membidas Dewan Ulama PAS Kelantan kerana menyarankan sebatan secara terbuka dibuat terhadap pesalah zina di negeri itu.

“Hukuman sebat di khalayak umum bukan hanya bertentangan dengan hak asasi manusia tetapi juga perlembagaan negara dan undang-undang sedia ada.

“Semangat undang-undang bukan untuk memalukan pesalah, tetapi mendidik mereka supaya belajar daripada kesilapan, bertanggungjawab atas perbuatan sendiri dan menyesali perbuatan itu,” kata Ketuanya Heng Seai Kie.

Datuk Hassan Mahmood (Pas-Tawang) kelmarin menyarankan kerajaan negeri mempertimbangkan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah persetubuhan haram sebagai langkah pencegahan serta menginsafkan rakyat.

Beliau mengesyorkan hukuman itu dilakukan pada hari Jumaat dan lebih baik jika dilaksanakan di hadapan masjid.

Kerajaan Kelantan dilapor menyokong cadangan itu tetapi akan menelitinya terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.

Dalam kenyataannya hari ini, Heng ( gambar ) berkata orang bukan Islam juga harus berhati-hati kerana Dewan Ulama mungkin cuba mengembangkan bidang kuasa dalam kesalahan-kesalahan syariah.

Beliau juga menyelar tindakan PAS untuk terus melaksanakan hudud di Kelantan.

[Baca berita asal]