Peguam P Uthayakumar mendakwa seseorang lelaki yang terencat minda dipukul oleh sekumpulan lapan anggota polis sehingga mangsa muntah darah.

Katanya, polis yang tidak memakai pakaian seragam datang dalam tiga kereta persendirian sebelum merempuh masuk ke rumah pangsa kos rendah anak guamnya di Rawang lalu menendang di bahagian dada.

Pada kejadian malam Selasa lalu, Uthayakumar mendakwa anak guamnya, P Muneswaran, 38, dipukul di hadapan isteri dan ibu bapanya yang berusia 75 tahun.

Peguam itu juga mempersoalkan mengapa polis datang dalam berpakaian biasa sedangkan undang-undang menyatakan bahawa serbuan mesti dilakukan oleh sekurang-kurangnya seorang pegawai yang berpakaian seragam.

"Katakan dia mati dalam tahanan polis, tiada rekod mengenai siapa yang menahannya dan kemudiannya kita akan jumpainya di dalam longkang atau di ladang kelapa sawit," kata Uthayakumar kepada Malaysiakini .

Menurutnya, beliau diberitahu bahawa pihak polis yang datang ke rumah anak guamnya adalah dari unit D9. Tetapi unit D9, bagaimanapun, mengendalikan sama ada kes bunuh atau mangsa adalah orang kenamaan.

"Mengapa perkara ini menjadi kes istimewa? Jika awak bercakap dengan anak guam saya, dalam masa beberapa minit saja, awak akan tahu dia tidak normal.

“Mentalnya terencat, dia tidak boleh bercakap dengan baik, " katanya.

Muneswaran ditahan kerana kononnya memeras ugut seseorang di Serdang, tetapi Uthayakumar berhujah bahawa anak guamnya tidak mampu bergerak sendiri.

"Dia tidak mempunyai motosikal, dia hanya bergerak sekitar kawasan rumahnya bagi mengutip tin dan surat khabar untuk mencari rezeki," katanya.

[Baca berita penuh]