Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua akan meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menjalankan siasatan terhadap SRC International selepas kes 1MDB selesai.

Katanya, siasatan terhadap SRC International perlu memandangkan terdapat keraguan terhadap wang yang didakwa dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta kegagalan projek yang melibatkan syarikat Putra Perdana Construction.

"PAC boleh menyiasat SRC International selepas isu 1MDB selesai. Saya akan kemukakan kepada PAC untuk siasat SRC International.

"Sebab ia merupakan syarikat subsidiari penuh oleh Kementerian Kewangan," katanya, pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, ditanya tentang kemungkinan SRC International boleh disiasat PAC, setiausaha publisiti DAP itu berkata penyiasatan boleh dilakukan sekiranya ahli jawatankuasa bersetuju.

"Kita perlu membuat permohonan dan ahli jawatankuasa perlu bersetuju. Saya akan buat permohonan dan akan lihat apa akan jawatankuasa kata," katanya.

Sebelum ini Pua pernah meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan supaya menjelaskan bagaimana wang RM27 juta dari SRC International berada dalam akaun peribadi Najib.

Pua juga meminta kerajaan menyatakan tujuan SRC International membuat bayaran sebanyak RM170 juta antara 8 Julai sehingga 8 Ogos 2014 kepada Syarikat Putra Perdana Consturction.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Parlimen memberitahu syarikat tersebut tidak mempunyai maklumat mengenai wang RM27 juta yang disalurkan ke akaun bank menteri kewangan dan ia hanya spekulasi media.