Hentikan perbalahan siapa bakal ganti Najib, kata Zaid
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mahu semua pihak menamatkan perbalahan mengenai siapa yang bakal menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, kata beliau, tumpuan harus diberikan bagi mendapatkan lebih ramai orang untuk menandatangani Deklarasi Rakyat bagi 'Selamatkan Malaysia’ dan juga merancang bagaimana untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan akan datang.
"Apabila semua ini dilakukan, kita semua boleh berarak ke istana untuk mengemukakan pengisytiharan kepada Yang di-Pertuan Agong," tulis Zaid di blognya hari ini.
Gerakan Selamatkan Malaysia bertujuan untuk menggulingkan Najib dan melaksanakan pembaharuan institusi.
Walau bagaimanapun, seorang anggota utama kumpulan itu iaitu pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang,mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa belum ada rancangan lagi mengenai siapa yang patut menjadi perdana menteri baru sekiranya rancangan mereka berjaya.

