Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mendakwa dirinya tidak dapat menerima golongan hipokrit di negara ini yang hanya mahu menjaga ‘periuk nasi’ masing-masing.

Katanya, golongan hipokrit ini terdiri dari pihak yang menghentamnya kerana menghadiri Majlis Deklarasi Rakyat bersama pemimpin DAP yang dianggap seteru ketatnya pada Jumaat lalu.

“Saya anti dengan orang hipokrit. Perasaan saya sekarang atas nama peribadi, saya tegaskan saya anti hipokrit.

“Sebab yang banyak sibuk sekarang ini, semua cerita hipokrit. Saya tercuit tangan Lim Kit Siang tak boleh tapi dia boleh pula bersalam dengan pihak yang lebih teruk, ini semua nak jaga periuk nasi masing-masing” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini .

Minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang menandatangani deklarasi yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Di majlis itu, gambar Ibrahim bersalaman dengan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang kemudiannya disebarkan oleh musuh politiknya.

“Sekarang bila saya dah lain sikit (pergi majlis Deklarasi Rakyat), mereka serang saya. Dulu mereka jangka yang saya akan buat 'donkey job' (orang suruhan).

“Kamu nak gunakan saya? Nak jadikan saya sebagai alat, kamu berpeluk dengan DAP tak pula salah, siap tersengih-sengih. Sebab mereka fikir Ibrahim Ali ni hulubalang mereka untuk lawan DAP,” katanya.

Ibrahim berkata, kini ramai di kalangan pemimpin Umno yang enggan bergambar dengannya kerana tidak mahu kehilangan undi kaum Cina.

“Ada pemimpin Umno yang takut nak bergambar dengan saya, sebab dia kata saya rasis. Bila orang Cina tengok gambar tu dia takut tak dapat undi, tapi bila jadi macam (pergi deklarasi pemimpin Umno) ni bising,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan pihak yang menghentamnya supaya tidak hipokrit kerana dengan menjauhi sikap itu mereka mampu menjadi pemimpin yang lebih baik.

“Kalau kamu tak hipokrit, kau tak korup, kalau kamu tak hipokrit, kamu pemimpin yang baik , kalau kamu tak hipokrit kamu bersih.

“Kamu cakap bab agama tapi hipokrit kamu. Tapi bab-bab yang boleh menyentuh tempat dia cari makan dia berdiam diri. Itu hipokrit. Saya tegaskan saya anti hipokrit,” katanya.

Lihat Komen
ADS