Polis sudah membuka kertas siasatan tatatertib berhubung kes seorang anggota polis trafik wanita yang didakwa memarahi seorang pengadu di kaunter pejabat pertanyaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan memberi jaminan siasatan telus akan dilakukan terhadap insiden berkenaan yang kini menjadi viral di laman sosial.
"Polis memberi jaminan bahawa siasatan dalaman yang dijalankan akan menyiasat segala aspek sebelum membuat keputusan selanjutnya.
"Sementara siasatan sedang dilaksanakan, arahan pertukaran dalaman terhadap anggota polis wanita itu telah dibuat serta merta (tugas pentadbiran) dan tidak lagi berurusan di barisan hadapan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata semua pegawai dan anggota IPD Subang Jaya perlu sentiasa mempamerkan keperibadian tinggi dan sabar dalam melayan kerenah pelanggan yang membuat aduan.
- Bernama
