Cuaca panas, kaki melecet tak halang 'aunty' anti-bauksit
Melalui berdepan dengan cuaca panas, hujan dan kesejukan pada waktu malam, namun ia tidak mematah semangat 11 peserta berjalan kaki anti-bauksit Red2Green dari Kuantan menuju ke Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Mereka memulakan perjalanan sejauh 254km itu pada 12 Mac dalam usaha untuk melahir rasa tidak puas hati mereka terhadap masalah perlombongan bauksit di Pahang yang belum ada kesudahannya.
Hari ini, masuk hari ketujuh misi mereka berjalan kaki selama 17 hari itu
Perjalanan itu akan berakhir di bangunan Parlimen pada 28 Mac di mana para pesertanya akan menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen. Sehingga ini, tiada apa yang nampaknya boleh menghalang misi mereka - sama ada cuaca atau kaki yang melecet.
Semangat para peserta itu dikuatkan lagi dengan kehadiran "Aunty Yap", yang tidak pernah patah semangat untuk meneruskan perjalanan itu walaupun dengan kaki yang melecet.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Aunty Yap hanya terlepas satu hari berjalan kaki, apabila dia terpaksa pulang ke rumah untuk menguruskan hal segera keluarganya.
Dia menerima bantuan perubatan daripada pasukan Fuziah.
Seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Dateline, terdapat juga seorang anak muda yang turut berazam untuk melengkapkan misi perjalanan tersebut.
Anak muda itu, Razali Abu Bakar, dari Bukit Goh - kawasan kediaman di mana aktiviti perlombongan bauksit dijalan secara berleluasa, sehingga memburukkan bapanya yang menghidap asma.
Moratorium ke atas perlombongan bauksit itu telah memberi kelegaan sementara kepada bapanya.
Bagaimanapun, seperti kebanyakan penduduk Kuantan, Razali sedar bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menangani akibat buruk dari perlombongan bauksit yang keterlaluan.
Berjalan di sebelahnya ialah Yeo Kim Kee, yang berusia 62 tahun, yang tinggal di Taman Impian, Kuantan, yang menjadi laluan lori-lori yang penuh dengan muatan bauksit untuk dihantar ke pelabuhan Kuantan. Walaupun sudah berusia, Yeo tetap bersemangat untuk menerus perjalanan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Fuziah berkata, peserta mendapat sokongan yang bertambah daripada penduduk di kawasan sekitarnya, sejak perjalanan mereka bermula.

