Satu laporan polis dibuat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana didakwa membeli membeli sebuah rumah - yang sebelum itu disewanya - pada harga yang luar biasa rendah.

Ia ekoran dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, anggota Parlimen Tasek Gelogor Datuk Shabudin Yahaya mendakwa Lim terlibat dengan rasuah.

Laporan dibuat oleh pengerusi NGO Pemantau Media Sosial Pasukan Semut Malaysia, Zaparudin Abdul Rahim di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.

“Saya baru sahaja buat satu laporan polis dan mohon pihak polis siasat pendedahan dibuat oleh Datuk Shabudin Yahaya Ahli parlimen Tasek Gelugor yang mendakwa Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang terlibat dalam rasuah.

“Banglo yang terletak di Georgetown itu bernilai RM2.5 juta pada 2008 dan ia sudah menjalani proses ubah suai yang besar.

“Berdasarkan semakan rambang, dan disebut ramai orang, nilai semasa banglo berkenaan adalah sekitar RM6.5 juta. Kemudian banglo tersebut di beli oleh Lim Guan Eng pada harga hanya RM2.8 juta. Berapa juta beza itu? ” katanya kepada pemberita.

Beliau meminta rakyat membuka mata terhadap DAP yang sering memburukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu skandal RM2.6 bilion.

“Saya nak tanya, adakah DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang telus dan bersih dari rasuah?

“Saya harap rakyat buka mata, dan dapat menilai. Inilah wajah sebenar DAP. Setiap hari mereka fitnah kerajaan, fitnah Datuk Seri Najib dan memburukkan perdana menteri dengan isu RM2.6 bilion yang isunya dah selesai pun,” katanya.

Justeru, pihaknya mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Lim.

“Saya juga mendesak pihak berkuasa seperti SPRM ambil tindakan tegas, bertindak secara adil dan profesional.

“Siasat segala dakwaan terhadap ketua menteri Pulau Pinang ini,” katanya.