Najib langgar tradisi demokratik Umno, dakwa Dr M
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan rasa kesalnya apabila Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak mengikut jejak langkah presiden-presiden parti sebelumnya untuk melakukan proses demokrasi terhadap parti.
Menurut bekas perdana menteri itu, Najib tidak mengikut jejak langkah pemimpin sebelumnya yang memilih demokrasi sebagai sistem pentadbiran parti dan negara.
"Semua peralihan kepimpinan Umno berjalan dengan licin dan demokratik. Sepatutnya Najib juga harus guna cara ini dan membenar suara ahli didengari, perbahasan diadakan secara bebas berkenaan prestasinya.
"Tetapi (perkara itu) tidak (berlaku)," katanya dalam tulis terbaru di blognya.
Katanya, antara sebab sistem demokrasi dipilih ialah sistem tersebut memudahkan proses pemilihan pemimpin serta menukar pemimpin dalam parti dan negara.
"Hanya dengan undi ahli sahaja pemimpin boleh dijatuhkan atau dinaikkan," kata bekas presiden Umno itu lagi.
Dalam tulisannya itu, Mahathir turut menceritakan tentang sejarah bagaimana presiden Umno yang pertama Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatannya apabila mencadangkan untuk membuka parti Melayu itu kepada semua rakyat Malaysia.
Selepas peletakan jawatan Onn, bekas perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman telah dipilih untuk menggantikannya.
Ketika itu tiada percubaan yang dilakukan oleh presiden Umno pertama itu untuk memaksa parti mengekalkan dirinya, kata Mahathir.
"Kemudian selepas mencapai prestasi yang kurang baik dalam PRU 1969, Tunku, apabila sedar dianya tidak popular lagi menyerah kepimpinan Umno kepada timbalannya Tun Razak walaupun Tunku khuatir akan kesetiaan Tun.
"Tunku letak jawatan dan peralihan kepimpinan Umno berlaku tanpa masalah," katanya.
Beliau juga menceritakan apabila prestasi bekas perdana menteri kelima, Tun Abdullah Badawi yang kurang baik dan Najib cuba mempengaruhi Abdullah supaya bersara dan menyerahkan jawatan kepadanya.
Ekoran itu, kata Mahathir, peralihan kuasa berlaku tanpa sesiapa digugurkan daripada Umno atau letak jawatan.
Justeru itu, Mahathir mengkritik tindakan yang dilakukan Najib kini apabila menggunakan kuasa sebagai presiden parti untuk menghalang pihak yang cuba mempengaruhi kedudukan perdana menteri itu.
"Sesiapa yang menegurnya disingkir dari Umno. Ada yang disoal oleh polis, dimasuk dalam tahanan, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang tidak berasas, kononnya mereka ‘terrorist’, pengganas," kata negarawan itu lagi.
Sehubungan itu, Mahathir menjelaskan tentang kerjasama yang dilakukannya kini bersama pembangkang kerana pihak lawan itu sedar tentang kerosakan yang telah terjadi pada negara yang memberi kesan yang lebih buruk.
Beliau turut menempelak tindakan Najib yang memainkan isu Lim Kit Siang bekerjasama dengannya kepada ahli Umno supaya tujuan asal Deklarasi Rakyat 'terpesong'.
"Najib akan main isu Kit Siang dengan saya supaya ahli Umno terpesong dari tujuan Deklarasi Rakyat sepertimana ia memesong demonstrasi BERSIH yang bertujuan menjatuhkannya kepada kononnya demonstrasi BERSIH adalah percubaan orang Cina untuk menjatuh kerajaan Melayu dan baju merah pun berdemonstrasi melawan Cina," ujar Mahathir.
Berikutan itu, perdana menteri selama 22 tahun itu menjelaskan suara rakyat di luar Umno diperlukan untuk memberi kekuatan dan kejayaan dalam usaha untuk menyingkirkan Najib.
"Oleh kerana kongkongan Umno dan ahli-ahlinya oleh Najib dan mereka sendiri tidak mampu membuat apa-apa, maka suara rakyat, di luar Umno, termasuk suara parti lawan perlulah digabung untuk memberi kekuatan dan kejayaan kepada usaha menyingkir Najib," jelasnya.

