Kakus Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia telah diberi kebenaran untuk menghantar misi mencari maklumat ke Kem Tahanan Kemunting di Perak bulan depan untuk menyiasat dakwaan berlakunya pelanggaran hak asasi oleh pihak berkuasa kem tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, ketika dihubungi hari ini, berkata permohonan kakus tersebut untuk melawat kem Kemunting telah mendapat kelulusan pihak kementerian.

Misi tersebut akan menumpukan siasatan terhadap dakwaan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia sewaktu berlaku perkelahian antara penghuni pusat itu dengan pegawal keselamatan pada 8 Disember tahun lalu.

Sewaktu kejadian tersebut yang dipercayai berlaku selepas pegawai pusat tersebut dihalang dari menjalankan pemeriksaan rutin sesetengah penghumi terbabit mendakwa mereka diikat dan dipukul, manakala rambut dan janggut mereka dicukur.

Pihak berkuasa pusat tersebut sebaliknya mendakwa, penghuni di situ yang mengadakan "pemberontakan' dengan menggunakan senjata buatan sediri seperti wayar, raket badminton yang ditajamkan dan pisau.

Kakus parlimen itu ditubuhkan tiga hari selepas kejadian tersebut berikutan tekanan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang serta badan-badan hak asasi manusia, yang mahu ianya disiasat.

'Berita baik'

Nazri, ketika dihubungi hari ini di Itali, berkata beliau sudah tahu mengenai kelulusan yang diberikan oleh kementerian berkenaan.

Katanya, tarikh untuk menghantar misi mencari maklumat itu akan diputuskan selepas beliau kembali ke tanahair pada 13 Februari ini dan berbincang dengan anggota lain kakus tersebut.

Menurut Nazri lagi, anggota kakus itu akan menyertai misi berkenaan. Lim adalah timbalan pengurusi manakala naib-naib pengerusinya ialah Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh).

Sementara itu, ahli Parlimen DAP, Fong Po Kuan, yang merupakan penolong setiausaha kakus itu, mengalu-alukan pengumuman tersebut.

"Ianya satu berita baik. Bagaimanapun, kami (sekretariat) belum dimaklumkan secara rasmi mengenainya," katanya ketika dihubungi.