Mahkamah: Bukan Islam tak boleh jadi peguam syarie
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin yang memohon untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut hanya umat Islam boleh diterima sebagai peguam syarie bukannya tidak mengikut perlembagaan.
Manakala dengan keputusan majoriti 3-2, mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa peraturan itu tidak ultra vires (melampaui kuasa) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif bersama hakim Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Azahar Mohamed, mereka membuat keputusan majoriti.
Manakala hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Zaharah Ibrahim tidak bersetuju.
Martin, 53 adalah lepasan Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004.
Beliau memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan namun Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut.
Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Seksyen 59 akta tersebut menetapkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang hukum syarak boleh diterima menjadi peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam mahkamah syariah. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam penghakiman setebal 42 muka surat, Md Raus berkata mempunyai peguam syarie yang menganut agama Islam adalah penting untuk mencapai objektif Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
"Satu daripada tanggungjawab penting seseorang peguam syarie adalah membantu Mahkamah Syariah menegakkan undang-undang syariah. Yang paling utama dan penting ialah profesion ini berdasarkan konsep kepercayaan kepada Allah.
"Satu daripada kriteria paling penting yang menjadi keutamaan peguam syarie mestilah mempunyai akidah, iaitu mempercayai dengan sepenuh hati kepada Allah dan undang-undang Islam," katanya.
Justeru, berdasarkan perspektif syariah, hakim berkata pada asasnya adalah penting bagi peguam syarie dipilih dalam kalangan penganut Islam dan hanya mereka yang beriman kepada agama Islam, yang boleh melaksanakan tugas mereka dengan penuh keyakinan berdasarkan kepercayaan itu.
"Berdasarkan pegangan responden, beliau beragama Kristian. Kepercayaan beliau sudah pasti bertentangan dengan akidah Islam. Sehubungan itu, bagaimana responden boleh melaksanakan tugasnya untuk membantu Mahkamah Syariah dalam menegakkan undang-undang syariah?," kata Md Raus.
Hakim berkata adalah jelas Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya kepada individu yang beragama Islam, sehubungan itu orang yang hadir di hadapan mahkamah juga harus tertakluk kepada bidang kuasa itu.
Beliau berkata Mahkamah Syariah harus berupaya menguatkuasakan undang-undang dan peraturannya pada peguam syarie, misalnya, apabila berlaku penghinaan atau apa-apa pelanggaran peraturan oleh mana-mana pihak.
"Sesungguhnya, Mahkamah Syariah tidak dapat menguatkuasakan undang-undang dan peraturannya terhadap responden, kerana beliau bukan Islam. Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya," kata Md Raus.
Dalam penghakiman itu, Md Raus, Ahmad dan Azahar memutuskan Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 yang memperuntukkan syarat dan kelayakan peguam syarie iaitu mesti beragama Islam, tidak bercanggah dengan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Bagaimanapun, Suriyadi dan Zaharah memutuskan Kaedah 10 adalah di luar kuasa Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam.
Bagaimanapun, kesemua lima hakim berkenaan memutuskan Kaedah 10 tidak bercanggah dengan Perkara 5, 8(1) atau 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, yang melaksanakan kesamaan, kebebasan dan hak berpersatuan.
Md Raus juga berkata Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 tidak memberi hak eksklusif kepada mana-mana individu sebagai peguam syarie.
"Atas sebab-sebab di atas, kami membenarkan rayuan ini. Perintah Mahkamah Rayuan dengan ini diketepikan. Kami mengembalikan semula perintah Mahkamah Tinggi," katanya.
Suriyadi dalam penghakiman setebal 52 muka surat pula berkata laporan Hansard dengan jelas menunjukkan Parlimen tidak pernah berhasrat untuk menutup pintu kepada bukan Islam yang mempunyai akademik mencukupi dalam undang-undang Islam untuk muncul di mana-mana Mahkamah Syariah.
Hakim itu berkata Seksyen 59(1) dalam erti kata biasa dan semula jadi adalah mudah difahami, jadi adalah menjadi tugas utama mahkamah untuk melaksanakan hasrat Parlimen itu.
"Berdasarkan erti makna biasa, kata besarnya ialah 'sesiapa pun', iaitu secara jelas dan ringkas bermaksud tanpa mengira sesiapa dan agama yang dianuti mereka," katanya.
Suriyadi berkata kalaulah benar niat Parlimen untuk semata-mata membenarkan umat Islam sebagai peguam syarie, kelayakan agama tentu telah dimasukkan dalam Seksyen 59(1) tanpa sebarang masalah.
Di luar mahkamah, Jayaseele yang diwakili peguam Ranjit Singh memberitahu pemberita, anak guamnya amat meminati undang-undang syariah, tetapi setakat itu sahaja, minat beliau tidak berjaya membolehkannya mengendalikan undang-undang syariah.
"Saya tidak fikir ada lagi peringkat seterusnya, ini adalah perjalanan terakhir," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan memohon semakan terhadap keputusan hari ini dan menambah mereka mempunyai hujah yang baik berhubung perkara Perlembagaan.
Beliau berkata anak guamnya akan menghormati keputusan itu walaupun dia akan berasa sangat kecewa.
Peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili MAIWP pula berkata keputusan itu akan memudahkan pihaknya membuat apa-apa kaedah selari dengan kedudukan Seksyen 59.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan ia adalah keputusan yang baik dan akan mengikat Mahkamah Syariah di kebanyakan negeri lain yang mempunyai peruntukan sama.

