Rafizi sedia dedah dokumen OSA jika LTAT membisu
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendakwa, beliau memiliki dokumen kerajaan Persekutuan yang mengaitkan syarikat pelaburan negara, 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Bagaimanapun, sebelum dokumen itu didedahkan, beliau menuntut pihak LTAT mengumumkan dahulu jumlah pesara tentera yang masih belum dibayar caruman mereka sejak tahun 2014.
Sekiranya perkara itu tidak dapat dilakukan, Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan berkata beliau akan mendedahkan isi kandungan dokumen tersebut walaupun ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"LTAT khususnya perlu mengumumkan berapa ramai pesara tentera yang belum dibayar caruman mereka dan lama mana serta berapa orang terkesan dari masalah ini mengikut bulan bermula pada 2014.
"Saya tak agak-agak mendedahkan dokumen rasmi Persekutuan ini sekiranya senarai ini tak disiarkan sepenuhnya pada rakyat.
"Dokumen ini di bawah Akta Rahsia Rasmi dan saya akan bertanggubjawab sepenuhnya terhadap perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurut Rafizi lagi, pendedahan terhadap dokumen itu perlu dilakukan kerana mendakwa terdapat penangguhan bayaran oleh 1MDB kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) sehingga menyebabkan pembayaran wang kepada LTAT tertunggak.
Berrikutan tunggakan itu, katanya, LTAT lewat membayar wang caruman gratuiti kepada pesara tentera.
"LTAT dan 1MDB, mereka sudah kantoi. Saya minta, jangan memalukan diri mereka sendiri. Mereka cuma perlu telus," kata Rafizi.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya Ketua Eksekutif LTAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin meletakkan jawatannya daripada lembaga tersebut kerana dilihat mempunyai konflik kepentingan.
Lodin juga memegang jawatan sebagai pengerusi 1MDB.
"Saya tak kisah kalau dia tak nak letak jawatan dalam 1MDB tetapi saya minta dia letak jawatan dalam LTAT kerana ia melibatkan kebajikan pesara tentera," katanya lagi.

