Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Seiring dengan ungkapan 'tidak tahu' Khairy Jamaluddin berhubung tindakan pegawai kanan bawah kementeriannya yang disiasat SPRM ekoran dakwaan menggelapkan wang berjumlah RM100 juta, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggunakan perkataan sama ketika ditanya sama ada jam tangan dibenarkan atau tidak untuk dibawa masuk ke dewan peperiksaan.

Keadaan pelik ini hakikatnya tidaklah terlalu pelik apabila Datuk Seri Najib Razak awal-awal lagi telah mempelopori tagline ini apabila ditanya sama ada beliau tahu atau tidak tahu kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Budaya 'tidak tahu' ini jika ditinjau mempunyai maksud yang pelbagai dengan kesedaran niat yang rencam:

1) Benar-benar tidak tahu - menunjukkan gagalnya keupayaan kepimpinan atau kemampuan menguasai sistem urustadbir satu-satu organisasi secara menyeluruh. Keadaan ini jika benar, amatlah malang bagi sebuah negara yang mempunyai kementerian yang banyak dan saiz kabinet yang amat besar.

Bila-bila masa boleh diambil kesempatan oleh sesiapa pun dek kebodohan atau kecuaian menteri yang dilantik.

2) Tahu, tapi belum bersedia untuk menjawab - menunjukkan si pemain politik masih tahu apa yang berlaku namun belum dapat merumuskan jawapan yang sesuai kepada masyarakat awam. Boleh jadi otaknya masih ligat berpusing mencari jawapan-jawapan lanjutan yang boleh diterima (baca: dikelentong) pengundi-pengundinya.

3) Tahu dan memang berniat untuk menyembunyikan - menunjukkan si pemain politik benar-benar nekad untuk menyeleweng dan telah siap skrip-skrip yang perlu dipaparkan ketika disoal masyarakat awam. Kebiasaannya pada kemungkinan ini, pemain politik benar-benar bersedia dan telah menyediakan pilihan-pilihan langkah lanjutan sekiranya perlu untuk dikambinghitamkan.

Bertelur dari masyarakat

Mudahnya, apa pun niat dan tujuan jawapan 'tidak tahu' ini, konotasinya semestinya buruk dan langsung tiada kesan positif sama ada kepada penutur mahupun amanah yang dijaga oleh si penutur.

Sindrom 'tidak tahu' ini sama ada sedar atau tidak jauh lebih buruk daripada 'denial syndrome' kerana sekurang-kurangnya orang ramai tidak terlalu sukar untuk menebak maksud si pengamal budaya penafian. Sama ada benar sebagaimana yang dinafi atau sebaliknya.

Lantas apa yang boleh diharapkan daripada budaya tidak tahu ini? Pertama sekali budaya ini lahir kerana masyarakat membenarkannya untuk 'membiak'. Budaya ini tidak akan bertelur jika masyarakat awal-awal lagi menolak mana-mana pemimpin yang serba tidak tahu.

Budaya mengangkat pemimpin yang bodoh atau pemimpin yang hanya cerdik untuk menipu berakar daripada masyarakat yang tidak betul-betul serius memilih pemimpin.

Kedua, kerosakan pandang alam (worldview) terhadap pentadbiran negara menyebabkan budaya ini berjangkit dengan cepat. Seseorang yang berada di atas sering dilihat sebagai bos dan masyarakat bawahan dianggap sebagai kuli.

Hasilnya selama bertahun-tahun kita menyemai budaya bahawa segalanya dari atas betul sehinggalah sampai ke suatu peringkat mereka yang di atas gagal memberikan jawapan yang baik dan hanya mampu berkata tidak tahu dan kita di bawah hanya boleh terpinga-pinga, kalau pun tidak terlalu bodoh untuk mempercayainya seratus peratus.

Ketiga, gagalnya masyarakat untuk menebas budaya ini lebih awal sebaik sahaja kita sedari. Kita cukup yakin dan percaya, sepanjang 58 tahun Barisan Nasional memerintah, pasti ada pemimpin-pemimpin yang alang-alang dungu dan tidak tahu apa pun yang berlaku di bawah kementerian atau jabatan di bawah kementeriannya.

Maka sepatutnya daripada awal lagi kita sudah mendesak untuk mana-mana parti pemerintah yang mahu berkuasa, menyediakan bakat-bakat kepimpinan negara yang cocok dengan jabatan-jabatan kerajaan. Kalau pun tidak lebih awal, setidak-tidaknya kita sudah boleh merencana tindakan tuntas ketika Najib Razak mengungkapkan jawapan celaka ini dalam isu aliran kewangan ke dalam akaun peribadi beliau.

Malapetaka merosakkan

Rakyat Malaysia yang amat baik dan santun telah menjadikan budaya 'tidak tahu' ini sebagai suatu malapetaka yang merosakkan. Kita 'ok' dengan orang-orang tua yang dilantik jadi Pengerusi Surau atau Pengerusi Masjid tetapi batang hidung mereka langsung tidak pernah nampak di surau atau masjid.

Munculnya hanya di mesyuarat agung tahunan yang akan memilihnya sekali lagi sebagai kepala organisasi.

Kita 'ok' dengan memilih seorang wakil rakyat yang kaya dengan hasil pendapatan ragu sekalipun kita tahu otak serongnya langsung tidak cocok untuk menyumbang dalam DUN atau Parlimen semata-mata berfikir esok lusa wakil rakyat ini boleh di'pow' untuk turap jalan atau baiki jambatan yang senget.

Jika budaya ini gagal dibendung dalam gerakan rakyat yang benar-benar bersifat rakyat (bukan mengatasnamakan 'rakyat' semata-mata), ia hampir pasti membiakkan satu budaya baru di masa depan - TIDAK MENGAPA.

"Tidak mengapa, masalah RM2.6 billion ini kecil sahaja". "Tidak mengapa, apalah sangat RM100 juta yang hilang jika mahu dibanding dengan pendapatan negara yang beratus billion".

"Tidak mengapa, hutang negara masih rendah walaupun telah melepasi 55 peratus KDNK negara". Tidak mengapa itu, tidak mengapa ini. Ketika sampai ke peringkat ini, negara benar-benar telah rosak teruk.

Kita hanya ada satu negara

Mungkin anak muda pada fasa ini perlu fokus untuk merubah negara secara berperingkat dan tahu di mana harus dikerahkan usaha. Membawa kembali anak-anak muda berpesta ke jalan raya merubah budaya tatakelola yang korup memerlukan usaha di atas seratus peratus.

Makhluk-makhluk serba 'tidak tahu' ini adalah perlambangan kepimpinan yang culas dan cuai. Dengan sistem pentadbiran yang rosak, ditambah kepimpinan sebegini, Malaysia seakan-akan memilih untuk ke lembah gelap.

Pilihan yang kita ada ketika ini mungkin tidak banyak. Berjuang dan susah sekarang. Atau selesa dan jahanam di kemudian hari. Generasi akan datang menuntut generasi sekarang menentukan sikap dan tindakan.

Sejauh mana keberanian generasi hari ini bertindak, bakal menentukan bentuk yang bagaimana negara ini diwariskan. Kita hanya ada satu negara. Negara inilah tempat untuk kita lahir, berjuang dan mati.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Lihat Komen
ADS