Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau enggan melayan isu saman Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan membuang masa.

“Macam-macam tindakan yang telah dibuat oleh pihak-pihak terhadap kepimpinan kita dan juga kerajaan.

“Yang paling penting bagi saya di Kementerian Pertahanan iaitu melihat ke hadapan. Kalau terus melayani perkara seperti ini tak jadi kerja kita,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Tahun 2016 Kementerian Pertahanan, Jalan Padang tembak petang ini.

Beliau diminta mengulas saman Tun Mahathir dan dua pihak lain memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkinan kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Selain Mahathir, plaintif lain adalah bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mereka menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, buat masa sekarang, pihaknya hanya mahu memfokuskan kepada masalah rakyat.

“Jadi yang penting sekarang ini kita prepare perancangan kita. kita telus dengan rakyat dan orang akan tahu apa yang kita nak buat.

“Akhirnya rakyat boleh menilai sendiri apa yang betul-betul ikhlas dan apa tujuan pihak-pihak tertentu yang mencari hal dengan kita,” katanya.