Menteri: Jawab Rafizi sampai kiamat pun tak habis
Menteri pertahanan menyangkal dakwaan anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli bahawa timbulnya konflik kepentingan apabila Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin menjadi pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ‘ spin (putar belit) politik’ itu hanya bertujuan mengaitkan LTAT dengan 1MDB.
“Takkan tiap-tiap minggu (LTAT) nak jawab Rafizi. Setiap kali dijawab, tiang gol diubah, jadi sampai kiamat pun tak selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Tahun 2016 Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di ibu negara petang ini.
Rafizi yang juga setiausaha agung PKR hari ini menggesa Lodin Wok meletakkan jawatan selaku ketua eksekutif LTAT ekoran kelewatan 1MDB membayar kos tunggakan tuntutan berjumlah RM396.41 juta terhadap Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM).
Kata Rafizi konflik kepentingan berlaku secara jelas memandangkan pada masa sama Lodin terlibat selaku pengerusi 1MDB.
Rafizi turut mendakwa, beliau memiliki dokumen kerajaan Persekutuan yang mengaitkan 1MDB dengan LTAT.
Bagaimanapun Rafizi berkata, sebelum dokumen itu didedahkan, beliau menuntut pihak LTAT mengumumkan dahulu jumlah pesara tentera yang masih belum dibayar caruman mereka sejak tahun 2014.
Hishamuddin berkata, pelantikan Lodin Wok ked alam LTAT tidak menyalahi undang-undang.
“Apa salahnya beliau (Lodin Wok) memikul jawatan, ada salah dari segi undang-undang?” soalnya.

