Beza Mahathir dan Ku Li di usia emas - versi portal Umno
Apabila Tengku Razaleigh Hamzah mencabar kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan tertinggi Umno pada tahun 1987, beliau nyaris berjaya menumbangkannya.
Namun Mahathir terselamat oleh peranan Datuk Seri Najib Abdul Razak yang kini mahu disingkirkannya sebagai perdana menteri.
Mengimbas kembali apa yang berlaku, portal pro-Umno Mykmu.net berkata walaupun Najib adalah hanya Ketua Pemuda Umno ketika itu, pengaruhnya dilihat sebagai berperanan penting dalam menentukan siapa yang menang.
“Keputusan Najib yang memihak kepada Mahathir dikatakan telah menyelamatkan karier Mahathir ketika itu.
“Jika Najib memihak pada Ku Li pada peristiwa 1987 berkenaan, ramai orang lama Umno yang setuju bahawa Mahathir akan jatuh terguling secara demokrasi ketika itu,” katanya.
Portal ini, bagaimanapun berkata, ia adalah sia-sia untuk mengharapkan Mahathir supaya mengenang budi kerana ia adalah sifat semulajadinya sejak lahir.
Sebaliknya,
Mykmu
berkata walaupun Najib menyebabkan kekalahannya ketika itu, Tengku Razaleigh dengan senang hati menandatangani deklarasi menyokong Najib sebagai perdana menteri.
“Begitulah hebatnya Ku Li, seorang tokoh genius Umno yang disia-siakan Mahathir sejak sekian lama berkuasa.
“Mungkin sebagai ahli politik veteran dan kaya dengan pengalaman, beliau yakin prinsip politik yang tulen dan bertindak bijak menyokong perdana menteri demi kestabilan politik negara,” katanya.
Khianati sumpah keramat bangsa
Menurut penulis artikel bertajuk ‘Beza antara Mahathir dan Ku Li di usia emas’, portal itu berkata Tengku Razaleigh boleh memilih untuk bersama dengan kem Mahathir, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.
“Mungkin beliau pun tahu bahawa tindakan Mahathir itu ‘ada udang di sebalik batu’. Mungkin beliau yakin bahawa tindakan Mahathir itu mengkhianati sumpah keramat bangsa.
“Mungkin juga Ku Li enggan bersekongkol dengan mereka-mereka yang pernah digelar ‘syaitan’ dan ‘rasis’ oleh Mahathir sendiri,” kata penulis yang merujuk kepada Deklarasi Rakyat.
Perisytiharan itu menyaksikan musuh ketat politik dan pemimpin NGO serta masyarakat sivil yang begitu lantang menyelar Mahathir bergandingan tangan bagi menuntut Najib supaya berundur.
Semalam, Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, menandatangani Deklarasi Kelantan bersama dengan wakil rakyat BN untuk memberi ikrar sokongan mereka kepada Najib.
“Apapun, penulis mengucapkan tahniah kepada Ku Li. Kematangan beliau dalam tindakan politiknya kali ini amat penulis kagumi.
“Mungkin itulah kualiti yang ada pada pengasas sebenar Petronas ini walaupun ada ‘orang tak malu’ yang mengaku kononnya Petronas itu idea otaknya…,” akhiri artikel itu.

