Mahkamah Persekutuan Putrajaya akan mendengar dua permohonan kebenaran untuk merayu dalam tindakan guaman yang difailkan oleh balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan tiga anaknya terhadap ahli perniagaan Deepak Jaikishan pada 30 Mei ini.

Hakim Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu ketika kes berkenaan dikemukakan untuk pengurusan kes dengan kehadiran peguam Americk Sidhu, mewakili A Santamil Selvi dan tiga anaknya, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Deepak.

Americk berkata Santamil Selvi memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 Oktober tahun lepas, yang mengetepikan perintah berasaskan persetujuan untuk mengembalikan saman sivilnya terhadap Deepak ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Perintah berasaskan persetujuan itu berkaitan keizinan yang diberi kepada Deepak untuk mengembalikan tindakan guaman itu ke Mahkamah Tinggi.

Deepak, dalam pada itu, memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Disember 2015, yang membenarkan rayuan Santamil Selvi dan tiga anaknya untuk mengembalikan tindakan guaman mereka terhadapnya.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Santamil Selvi untuk meneruskan tindakan guaman terhadap Deepak atas kedudukan peribadinya dan bukan bagi pihak mendiang suaminya.

Pada 23 Jun 2014, Santamil Selvi dan tiga anaknya, B Kishen, B Menaga dan B Reeshi, memfailkan tindakan guaman berikutan kerugian yang dialami sepanjang mereka berada di luar negara selama 56 bulan, dari 4 Julai 2008 hingga 15 Mac 2013, apabila Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung selepas kembali ke Malaysia dari India.

Mereka menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, dua adik lelaki Najib - Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak - peguam Tan Sri Cecil Abraham dan anak lelakinya Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat, ahli perniagaan Deepak Jaikishan serta peguam M Arunapalam sebagai defendan.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, Santamil Selvi mendakwa dia dan suaminya dipaksa menarik balik perisytiharan berkanun yang dibuat pada 1 Julai 2008 berkaitan fakta tertentu dalam pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu.

Santamil Selvi dan anak-anaknya menuntut ganti rugi berjumlah RM840,000, termasuk bagi bayaran sewa pangsapuri di Chennai, India; yuran persekolahan anak-anaknya dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika; pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Bagaimanapun, pada 11 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman sivil mereka tanpa memberi pendengaran penuh, setelah membenarkan permohonan responden untuk berbuat demikian.

Pada 24 April tahun ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu atas alasan notis rayuan Santamil Selvi mempunyai kecacatan dan ini mendorong mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 2 Disember tahun lepas, Santamil Selvi dan anaknya gagal dalam usaha terakhir mereka untuk mengembalikan saman sivil terhadap Najib, Rosmah dan enam yang lain selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan.

- Bernama