SPRM rakam kenyataan Guan Eng minggu depan
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.
Anggota parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata SPRM menghubunginya berkaitan perkara itu hari ini dan beliau memberitahu Lim sedia disoal siasat.
“Pada saya tiada masalah.
“Saya beritahu mereka supaya hubungi kami jika perlu dokumen-dokumen lanjutan bagi mengumpulkan lebih maklumat kes itu,” kata Gobind dalam sidang media di Wisma DAP di Pulau Pinang.
Lim akan disiasat di Pulau Pinang dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh DAP, kata Gobind.
Gobind ditemani ketua DAP negeri Chow Kon Yeow dan 20 lagi wakil rakyat parti itu.
Mereka sebelum itu hadir dalam mesyuarat berhubung dakwaan pembelian banglo RM2.8 juta di Pulau Pinang yang dikritik pemimpin Umno selepas diperoleh bawah harga pasaran.
Chow berkata Lim menjelaskan isu itu sementara Gobind membentangkan aspek politik dan undang-undang dalam kontroversi yang timbul di parlimen pada 17 Mac lalu.
Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek) mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.
Pemilik rumah Phang Li Koon dalam akuan berkanunnya berkata menjual banglo itu dengan rela hati.

