Pembangkang kumpul tandatangan rakyat desak Najib undur
Satu sesi mengumpul tandatangan rakyat Malaysia akan diadakan pada 28 Mac ini bagi mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu akan diadakan pada program Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia di Ampang pada Isnin depan.
"Kami akan mengumpul tandatangan, mengira dan menunjukan kepada dunia betapa ramai orang yang akan menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib letak jawatan.
"Kami faham Najib mempunyai pengaruh yang kuat dalam organisai parti, tetapi saya lebih memahami psikologi Umno.
"Mereka melihat realiti. Jika mereka melihat rakyat yang begitu besar bertentangan dengan perdana menteri, mereka (ahli Umno) akan sedar bahawa presiden mereka adalah liabiliti kepada parti. Maka ahli Umno akan berubah. Itu adalah psikologi Umno," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan risalah program Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia di Masjid Jamek di ibu negara hari ini.
Selain itu, risalah Himpunan Mansuh GST yang akan diadakan pada 2 April depan juga turut diedar.
Risalah mula diedarkan selepas solat Jumaat.
Turut hadir ialah Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) Ahmad Awang dan Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir.
Selain itu, bekas anggota majlis tertinggi Umno itu juga berkata, beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia akan datang beramai-ramai ke program anjuran Pakatan Harapan pada 28 Mac dan 2 April itu bagi memastikan Najib berundur segera.
"Matlamat kita hanya satu sahaja iaitu mendesak perdana menteri untuk undur dengan segera dan selanjutnya menjalankan reformasi yang berterusan dan menyeluruh," katanya lagi.
Sementara itu, bagi seorang pelajar Mohd Fikri Najib, 25, beliau mengesahkan akan hadir pada perhimpunan anti-GST.
Katanya, kehadirannya pada perhimpunan itu bagi menunjukkan rasa protes terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan yang dilakukan pada tahun lalu.
"Saya akan hadir kerana saya rasa sebagai rakyat Malaysia kita ada hak untuk bersuara. Lagipun, keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, kos hidup tinggi, barang keperluan pula dikenakan GST," katanya.
Bagi, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ahmad Azizi pula memberitahu, beliau memberikan sokongan terhadap perhimpunan tersebut dan mengharapkan agar pihak kerajaan dapat mendengar suara rakyat.
"Saya sokong. Saya harap kerajaan boleh dengar apa yang rakyat suarakan," katanya.

