Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 11,837 panggilan berkaitan kebakaran di seluruh negara sejak 1 Januari hingga semalam berbanding 11,296 panggilan dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata panggilan melibatkan kebakaran belukar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,363 panggilan berbanding hutan (1,766), sampah (1,070) serta kebun dan ladang (638).

"Kedah mencatatkan jumlah panggilan tertinggi berkaitan kebakaran hutan pada tempoh sama tahun ini iaitu 1,600 panggilan kerana fenomena El Nino yang sedang melanda kawasan utara negara ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar kepada seorang ibu tunggal Zaira Zakaria, 39, di Kampung Lepah, Selising di Pasir Puteh hari ini.

Majlis penyerahan kunci rumah yang disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub itu turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Zulkifli Ali.

- Bernama