Keutamaan liputan di KDN bagi media profesional - Zahid
Tidak ada larangan ke atas sebarang daripada membuat liputan yang diadakan di Kementerian Dalam Negeri, kata menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, beliau berkata, keutamaan diberikan media yang mengamalkan ciri-ciri profesionalisme dan beretika.
"Keutamaan adalah kepada petugas diberikan kepada petugas atau wakil agensi media yang mengamalkan ciri-ciri profesionalisme dan menghormati etika kewartawanan semasa membuat liputan berita dalam penulisan mereka, dan menyebarkan berita kepada umum," kata Zahid.
Menurutnya, sepanjang tahun 2015 hingga hari ini, Kementerian Dalam Negeri tidak menerima sebarang aduan rasmi berkenaan media dihalang ataupun larangan daripada membuat liputan acara dan majlis di premis kementerian mahupun di lapangan.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang menintanya menyatakan sama ada media atas talian seperti
Malaysiakini
dilarang untuk membuat liputan di Kementerian Dalam Negeri.
Zahid berkata selain mengamalkan ciri-ciri profesionalisme dan beretika, wartawan juga mesti mempunyai kad perakuan media yang sah serta berpakaian kemas dan bersesuaian serta tidak bertentangan dengan etika berpakaian sesuatu acara atau majlis kerajaan.
“Insiden seorang petugas atau wakil media yang dikatakan dihalang memasuki premis KDN pada tahun 2014 adalah suatu kes terpencil.
“Walau bagaimanapun petugas tersebut hanya tidak dibenarkan masuk ke premis kementerian pada hari berkenaan sahaja dan bukanlah dihalang terus dari membuat sebarang liputan dan acara kementerian.
“Tidak ada ada wartawan atau pertubuhan media tertentu yang tertakluk kepada larangan tetap,” katanya.
Dalam jawapannya, Zahid juga membidas kerajaan negeri Pulau Pinang, yang menghalang wartawan dari Utusan Malaysia dan TV3 daripada membuat liputan di Dewan Undangan Negeri.

