Malaysia kutuk pembunuhan Hariri sebagai satu tindakan 'keganasan'
Malaysia melahirkan rasa terkejut dengan kematian bekas Perdana Menteri Lebanon Rafic Hariri dalam satu serangan bom kereta dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas itu.
Malaysia melahirkan rasa terkejut dengan kematian bekas Perdana Menteri Lebanon Rafic Hariri dalam satu serangan bom kereta dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), juga menyifatkan kematian Hariri itu sebagai satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada Lebanon tetapi juga kepada dunia Arab.
"Sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri, Lebanon telah menikmati kemajuan dan kemakmuran yang luar biasa," katanya dalam satu perutusan kepada rakan sejawatannya dari Lebanon, Omar Abdel Hamid Karame.
Menurut laporan, Hariri terbunuh dalam satu letupan kuat dari sebuah kereta di ibu negara Lebanon itu tengah hari semalam. Sembilan orang lagi turut terkorban.
Manurut laporan Bernama, Abdullah, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, melahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Lebanon.
"Saya juga mengucapkan takziah dan berdoa agar keluarga Rafic Hariri dapat bersabar di saat-saat yang sedih ini," katanya.
Hariri melepaskan jawatan perdana menteri pada Oktober lalu setelah memimpin Lebanon selepas perang saudara di negara itu antara tahun 1975 dan 1990.
Beliau telah beberapa kali melawat Malaysia.

