Laporan polis dibuat terhadap pengerusi eksekutif MK Land
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Pengerusi Eksekutif MK Land Holding Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar kerana didakwa mengambil pekerja asing tanpa permit untuk projek pembinaan milik syarikatnya di Damansara Damai, dekat Kuala Lumpur.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Pengerusi Eksekutif MK Land Holding Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar kerana didakwa mengambil pekerja asing tanpa permit untuk projek pembinaan milik syarikatnya di Damansara Damai, dekat Kuala Lumpur.
Kordinator Labour Resource Centre (LRC), Saharuddin Adnan membuat laporan polis di Balai Polis Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 7 Februari lalu kerana percaya Mustapha Kamal terlibat mengambil 90 orang pekerja asing tanpa izin untuk projek pembinaannya.
Dalam laporan tersebut, Saharuddin mendakwa Mustapha Kamal dan MK Land berniat untuk mendapatkan kepentingan secara tidak sah daripada tindakannya menggaji 90 pekerja asing yang masuk ke negara ini tanpa permit.
"Pada Ahad, 6 Februari, MK Land merobohkan rumah kongsi pekerja dengan niat untuk menghalau mereka daripada kawasan tersebut setelah mereka hampir menyiapkan projek pembinaan tersebut.
"Apabila pekerja melarikan diri, MK Land Holding mempunyai alasan untuk tidak membayar gaji pekerja asing tersebut," katanya dalam laporan polis tersebut.
Saharuddin ketika dihubungi malaysiakini hari ini, mengesahkan membuat laporan polis tersebut.
Katanya, beliau telah pergi ke tempat terbabit pada 6 Februari lalu dan melihatkan sendiri rumah kongsi pekerja terbabit dirobohkan.
Sementara itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) meminta pihak berkuasa menyiasat Mustapha Kamal kerana didakwa mengambil 90 pekerja asing tanpa izin untuk projek pembinaan di Damansara Damai.
Dalam kenyataannya, ahli Jawatankuasa Pusat AMPKR, Badrul Hisham Saharin berkata, siasatan itu perlu bagi mengenalpasti dari mana beliau mendapat sumber tenaga asing tanpa permit.
Kesalahan serius
"Perkara ini merupakan kesalahan serius, kemasukan buruh asing secara haram adalah masalah yang lama berlarutan dan ia kelihatan seperti satu sindiket yang terancang," katanya.
Katanya, Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) menyatakan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebih 12 bulan dan jika kesalahan melibatkan lebih lima buruh asing, ia boleh disebat tidak melebihi enam sebatan.
Beliau berkata, kes ini menjadi kayu pengukur sama ada kerajaan benar-benar serius dalam melaksanakan hukuman sebat ke atas majikan.
"Adakah pekerja asing sahaja yang perlu didakwa, ditangkap dan disebat, bagaimana dengan majikan yang terlibat yang jelas mengaut keuntungan dalam kes ini?" katanya.
Malaysiakini semalam melaporkan 90 pekerja tanpa izin Indonesia mendakwa mereka tidak mendapat gaji berjumlah RM150,000 kerana tidak dibayar oleh subkontraktor yang dilantik oleh MK Land untuk projek pembinaan di Damansara Damai, Kuala Lumpur.
Subkontraktor, Mega Jaya (M) Sdn Bhd, menurut pekerja terbabit, dilantik dengan kebenaran MK Land. Pekerja terlibat secara haram bekerja dengan syarikat tersebut.
Dalam pada itu, Badrul Hisham membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mempertikaikan pekerja asing yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang tidak membayar gaji mereka.
Beliau berkata, Najib tidak boleh membela majikan semata-mata kerana perlu mengambilkira tentang majikan yang tidak membayar gaji pekerja asing tersebut.

