Tahanan koma: Penjara Sungai Buloh nafi kakitangannya terbabit
Pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh menafikan kakitangannya terbabit dalam kejadian seorang tahanan dibelasah dan kini dalam keadaan koma sejak sembilan hari lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia(HUKM) di Kuala Lumpur.
Pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh menafikan kakitangannya terbabit dalam kejadian seorang tahanan dibelasah dan kini dalam keadaan koma sejak sembilan hari lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia(HUKM) di Kuala Lumpur.
Rustam Talib, 20, dikatakan mengalami pendarahan otak selepas kejadian tersebut yang kini dalam siasatan pihak polis.
Keluarganya mendakwa pihak berkuasa penjara itu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas Rustam dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap jabatan tersebut.
Bagaimanapun, ketika dihubungi pagi ini, Penguasa penjara itu, S Gunasegaran berkata tidak seorangpun kakitangan penjara itu yang terbabit atau bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
"Saya amat pasti yang dia bukan dipukul oleh mana-mana kakitangan penjara. Kami telah mengenalpasti dan mengasingkan empat tahanan yang dipercayai bertanggungjawab melakukannya. Kini terpulang kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, keempat-empat tahan itu berkongsi bilik tahanan dengan Rustam, yang ditahan reman berhubung satu kes dadah yang dijadual didengar pada 28 Februari ini. Kejadian itu dipercayai berlaku akibat selisihfaham antara mereka.
Gunasegaran mendakwa, Rustam, yang ditangkap Disember lalu, kelihatan sihat ketika pemeriksaan dibuat pada pagi 7 Februari.
"Dia dalam keadaan baik. Dia tidak memberitahu kami yang dia dipukul. Pada kira-kira jam 11 pagi tersebut, kawannya memberitahu warden mengenai kejadian itu yang dikatakan telahpun berlaku...saya tidak pasti bila," katanya.
Sebelum ditangkap, Rustam membantu ibunya berniaga di gerai makan di Kuala Lumpur. Pada mulanya dia dibawa ke hospital penjara, tetapi apabila keadaannya 'tidak dapat dikendalikan' dia dibawa ke HUKM.
Tidak profesional
Pegawai polis dari balai Ampang pergi ke rumah Rustam pada kira-kira jam 10 malam untuk memaklumkan kepada ibunya dan bapa saudaranya, Rosli Abdul Rahim, yang dia telah dimasukkan ke hospital.
"Saya berada di Sungai Buloh untuk melawat anak saudara saya itu pada 7 Februari. Saya tidak dibenarkan menemuinya. Saya diberitahu yang dia sedang menjalani pemeriksaan kesihatan. Saya tidak diberitahu mengenai kejadian itu ataupun keadaannya. Jadi saya menganggap ianya satu pemeriksaan biasa," kata Rosli.
"Pihak berkuasa penjara mempunyai alamat dan nombor telefon kami. Mengapa mereka tidak memberitahu kami atau cuba menghubungi kami? Pihak polis yang terpaksa menghubungi kami kerana pihak hospital perlu mendapat kebenaran kami untuk membedah Rustam, tetapi tidak mempunyai alamat yang betul," tambahnya.
Ketika keluarganya sampai ke hospital berkenaan pada malam itu, pembedahan tersebut telahpun dilakukan kerana keadaan memaksa mereka berbuat demikian.
Para doktor memberitahu keluarga Rustam yang dia dipukul di kepala dengan objek keras dan salah satu matanya bengkak.
Rosli juga marah dengan "sikap tidak profesional" pihak berkuasa penjara dan juga hospital berkenaan dalam mengendali kes tersebut.
"Pihak penjara bertanggjungjawab menjaga keselamatannya. Walaupun mereka menafikan memukulnya, tetapi mereka sepatutnya memastikan yang dia tidak dicederakan oleh yang lain. Ibunya bergantung hidup kepadanya," kata Rosli.
Keluarga Rustam telah membuat dua laporan polis terhadap pihak berkuasa penjara dan telah mendapatkan bantuan badan hak asasi manusia, Suaram, untuk menulis kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan pengarah penjara, berhubung kejadian tersebut.
Ketika dihubungi sebelumnya, penyelaras Suaram S Arutchelvan, berkata aduan tersebut telah dikemukakan kepada Suhakam dan pihak polis, tetapi sehingga ini tiada sebarang jawapan diterima.

