Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) menggesa kerajaan mempertimbangkan pindaan akta bagi membubarkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) kerana badan itu didakwa menyumbang kepada pembaziran dari segi pengendalian.

Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan ( gambar ) berkata selepas pembubaran itu, kesemua asetnya hendaklah dikembalikan kepada KTMB.

“Kementerian Pengangkutan perlu memikirkan kembali kedudukan RAC dengan mencadangkan pindaan Akta dengan membubarkan RAC dan mengembalikan hak sebelum terwujud RAC dikembalikan kepada KTMB,” katanya.

“Penekanan kesatuan ialah KTMB mampu mengendalikan RAC dan bersedia mengendalikan RAC berdasarkan RAC hanya setaraf dengan Jabatan Hartanah KTMB,” katanya.

Semalam RUM dan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan KTMB (SOA) membantah rancangan RAC yang ingin mengambil alih semua jentera kereta api di negara ini.

RAC bercadang mahu mengambil alih jentera jenis six car set (SCS), set kereta api elektrik (ETS) dan operator management centralized (OMC) ini sebelum ini diuruskan KTMB.

RAC dalam kenyataannya semalam berkata pengambilalihan jentera itu termaktub bawah Seksyen 92 (2) Akta Keretapi 1991, yang menyebut segala harta dan liabiliti yang dahulunya bawah Keretapi Tanah Melayu adalah terletak hak kepada RAC secara automatik.

Sementara itu, Abdul Razak mempersoalkan apakah tindakan dilakukan oleh RAC selama 24 tahun, selain didakwa mengaut keuntungan atas angin.

Katanya, tindakan RAC yang ingin mengambil alih kesemua jentera hanya “angan-angan” memandangkan badan itu tidak mempunyai kemahiran dalam industri perkeretaapian.

“RUM berkeyakinan berdasarkan andaian RUM bahawa RAC tidak mempunyai kemahiran Industri perkeretapian, jalan mudah setelah mengambil aset-aset KTMB yang ada sekarang ialah outsource dan peranan RAC ialah kerja mudah dan untung atas angin,” katanya kepada Malaysiakini .