Polis tangkap aktivis tampal karikatur Najib di kereta peronda
Gara-gara menampal karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada kereta peronda polis semasa perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kuala Lumpur hari ini, seorang aktivis ditangkap.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan bahawa peserta itu ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Seksyen ini berkenaan tindakan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
Aktivis Muhammad Zhafran Muhammad Zuhdi, 24 kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
"Dia sedang berjalan apabila sebuah kereta peronda datang, dia melekatkan karikatur Najib dengan kata-kata tertentu di kereta. Itu tidak betul.
"Ia satu-satunya kes (tahanan). Jika tidak, segala-galanya adalah aman, tiada sebarang masalah," kata Amar kepada Malaysiakini .
Peguam Zhafran, Mohd Ashraf Othman, memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya ditahan pada kira-kira jam 3.30 petang.
Katanya, akses kepada anak guamnya juga telah dinafikan dan beliau hanya boleh menunggu sehingga esok untuk perintah reman.
"Saya telah tinggalkan nombor saya di balai polis, jadi saya akan tunggu polis untuk menelefon saya," katanya.
Ashraf berkata beliau dimaklumkan belum ada pegawai penyiasat ditugaskan berhubung kes anak guamnya.

