'Saya kata pada Dr M, Najib dipilih secara demokratik'
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau menghormati pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Namun beliau berpendapat bahawa tindakan yang dibuat bekas perdana menteri itu tidak mengikut Perlembagaan.
"Itu cara dialah. Saya hormat Mahathir. Dia hendak cari kekuatan. Saya pergi jumpa dia. Saya kata ke mana Tun hendak pergi ni. Dia kata sehingga Najib diturunkan daripada jawatan itu.
"Saya kata, Najib dipilih menerusi pilihan raya secara demokratik. Parti dia menang dan kerusi dia mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam kalangan dia di Dewan Rakyat, maka Yang di-Pertuan Agong melantik dia sebagai perdana menteri.
"Itu mengikut Perlembagaan dan secara sah mengikut apa yang ditentukan oleh demokrasi," katanya dalam temubual bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung tindakan Mahathir yang dilihat agresif menyerang Najib sehingga sanggup bekerjasama dengan pembangkang.
Malah anggota parlimen Gua Musang itu juga berkata, beliau turut memberitahu negarawan itu bahawa perlu menerima suara 'terbanyak' sekiranya tidak dapat mengurangkan keyakinan anggota parlimen untuk memberi sokongan kepada Najib.
"Kalau kita tidak boleh hendak mengubah pandangan orang ramai sehingga mengikut kehendak kita, kita kena terima suara yang terbanyak.
"Itu demokrasi... Suara yang terbanyak hendak cara itu, bukan cara kita. Kalau kita yang minoriti, kita kena terimalah yang majoriti," katanya lagi.

