Syarikat pelaburan negara 1MDB menggambarkan Ahli Parlimen DAP Tony Pua hanya mengetahui suatu perkara dan mengitar semula tuduhan- tuduhan lama terhadap syarikat itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, firma itu mencadangkan MP Petaling Jaya Utara itu mungkin juga menderita akibat 'amnesia terpilih'.

"1MDB sebelum ini telah menjelaskan maksud di sebalik deposit USD1.4 bilion dibayar kepada Aabar.

"Malah, tujuan digambarkan dalam syarat-syarat jelas dan telus dalam nota 24 (a), halaman 96 daripada penyata kewangan 1MDB bertarikh 31.03.2013 dan nota 23 (a), halaman 101 daripada penyata kewangan diaudit 1MDB bertarikh 31.03.2014.

"Lebih penting, untuk semua pembayaran utama yang diperbuat oleh syarikat, 1MDB telah menyediakan maklumat terperinci bersama dengan keterangan berdokumen sokongan kepada Jabatan Ketua Audit Negara," katanya.

1MDB memberikan respons kepada Pua yang mengatakan bahawa penafian satu perenggan penglibatan firma itu dalam menyediakan dana untuk filem Hollywood 'The Wolf Of Wall Street' adalah tidak mencukupi.

Sebaliknya, beliau berkata syarikat pelaburan negara itu harus menjelaskan pemindahan yang dikatakan berjumlah AS$1.4 bilion kepada syarikat British Virgin Islands (BVI).

"Jika 1MDB gagal memberikan penjelasan mengenai sifat dan pemilikan Aabar Investment PJS Limited (BVI) dengan dokumen-dokumen yang perlu dan sesuai, maka apa-apa penafian tentang Aabar (BVI) akan menghilangkan kredibilitinya," katanya.

[Baca berita penuh]