Aktivis pro-Najib pula serang PKR isu dana
Datuk Seri Ramesh Rao, pemimpin NGO yang sering mempertahankan perdana menteri, mengetengahkan dakwaan baru bahawa wujud jutaan ringgit untuk PKR dalam bentuk akaun simpanan tetap.
Beliau juga mendakwa seorang tokoh perbankan Malaysia dispekulasi menguruskan wang itu bersama-sama sebuah syarikat kewangan luar negara.
Memetik dakwaan aliran tunai meragukan, Ramesh mendakwa:
“Terdapat beberapa pihak telah melihat akaun itu yang boleh dikatakan luar biasa.”
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli (
gambar
) bagaimanapun memberitahu Malaysia, beliau juga ingin tahu berhubung dakwaan akaun itu.
“Saya juga berminat kerana jika PKR ada akaun sebegitu, ia akan banyak membantu (kewangan kami),” sindirnya.
Rafizi berkata, setiap bulan beliau terpaksa menguruskan dengan belanja kecil RM120,000 sebulan,yang sebahagian besarnya disumbangkan wakil rakyat mereka.
Dakwaan Ramesh itu dibuat ketika Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak mengaku menerima AS$7 juta daripadanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib, yang juga abangnya.
Dana itu diedarkan kepada ahli politik parti pemerintah mengikut arahan pemimpin-pemimpinya.
Nazir bagaimanapun berkata beliau percaya wang itu derma pilihan raya daripada derma korporat dan individu dan tidak pasti berkaitan sumbernya.
Susulan laporan akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ), Nazir kemudian menulis menyatakan kekesalannya di media sosial Instagram.
Dari mana, untuk apa?
Dalam dakwaan terbaru ini, Ramesh ( gambar ) mendakwa dana untuk PKR itu diedar di kalangan pihak yang menyokong pembangkang untuk tujuan kempen.
“Jika benar, PKR patut tampil dan menjawabnya kerana ia boleh membangkitkan persoalan berkaitan daripada wang itu dan untuk tujuan apa ia dibelanjakan,” katanya.
“Sebelum ini, mereka berulang kali mendakwa BN dan perdana menteri mendapat dana-dana, yang sumbernya kemudian dibuktikan.
“Tetapi dari mana pula datangnya dana PKR?” soalnya.

