Seminggu selepas perhimpunan 27 Mac, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim meminta orang ramai supaya mengekalkan momentum untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Najib Razak meletak jawatan.

Beliau berkata momentum perhimpunan 27 Mac itu hanya dapatdikekalkan jika setiap rakyat negara ini terus memberi tekanan kepada perdana menteri untuk meletak jawatan.

"Tanya apa yang boleh anda lakukan untuk bantu menggerakkan momentum," kata bekas ahli parlimen Kota Baru itu dalam blognya hari ini.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya menandatangani petisyen menyokong Deklarasi Rakyat bagi Selamakan Malaysia menerusi talian.

Buat masa ini, lebih 48,800 orang telah menandatangani petisyen untuk mendesak Najib supaya berundur.

Zaid mengulas soalan berhubung langkah seterusnya selepas perhimpunan 27 Mac lalu yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang duduk di pentas yang sama mengesa Najib untuk melepaskan jawatannya.

Antara mereka adalah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu.

Zaid juga memberi jaminan bahawa rancangan pembaharuan institusi akan dilakukan selepas Najib disingkirkan.

Sambil menyifatkan pembaharuan institusi sebagai bahagian yang mudah, bekas menteri itu berkata, perubahan yang diperlukan adalah jelas kepada semua pihak dalam kempen Selamatkan Malaysia itu.

"Kami telah menyusun semua cadangan dan idea mengenai aspek utama dasar awam - dari ekonomi kepada pindaan dalam undang-undang.

"Kami mahu memastikan demokrasi terus subur; kami mahu seorang perdana menteri yang tidak boleh menjadi raja. Kami ingin pastikan dia tidak boleh juga ambil portfolio menteri kewangan dan memberi kontrak kepada isteri atau kawan-kawan isterinya," katanya.

[Baca berita penuh]