Nyalaan lilin sokong Shazni dan Shukri
Lebih 40 orang hadir menyertai himpunan nyalaan lilin semalam sebagai tanda sokongan kepada Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin dan bekas aktivis pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin, yang ditahan untuk siasatan berhubung dakwaan hasutan.
Mereka mula berkumpul di seberang jalan Balai Polis Dang Wangi pada pukul 8.15 malam, dengan masing-masing membawa lilin putih dan sepanduk menggesa pembebasan Shazni dan Ahmad Shukri, serta pemansuhan Akta Hasutan.
Kawasan kaki lima yang mengadap balai polis itu - yang biasanya tenang - telah bertukar menjadi medan ucapan, bacaan puisi dan nyanyian.
Para penyokong berulang kali melaungkan bebaskan Shazni dan Shukri, mansuhkan Akta Hasutan dan hidup rakyat. Ia anjuran Gerakan Mansuhkan Akta Hasutan (GHAH).
Antara yang berucap ialah pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen; Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan; wakil Wanita AMANAH, Anfaal Saari; Setiausaha Pemuda DAP, Bryan Lew dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen PKR Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip.
Di tengah-tengah ucapan dan peserta himpunan itu, kelihatan seorang lelaki yang sudah berusia, duduk sambil memegang lilin. Walaupun kelihatan tenang, namun matanya memancarkan semangat yang waja.
"Anak muda (Shazni dan Ahmad Shukri) memerlukan sokongan kita, itulah sebabnya saya berada di sini hari ini," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Amjal.
Kira-kira jam 9.15 malam, penceramah selesai menyampaikan ucapan mereka.
Peserta himpunan itu mula beredar. Namun, sehingga jam 10 malam, beberapa penyokong masih kelihatan berligar-ligar di situ.

