Rafizi buka laman aduan baru terhadap PTPTN
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata perubahan dasar melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) menyebabkan ribuan keluarga kini menanggung beban kewangan.
Katanya, ini kerana PTPTN mengehadkan jumlah pinjaman dan hanya pemohon dari keluarga yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dipertimbangkan untuk mendapat pembiayaan penuh.
"Peraturan bahawa hanya pemohon dari keluarga yang menerima BR1M boleh dipertimbangkan untuk pembiayaan penuh telah menyebabkan ribuan keluarga terperangkap dengan beban kewangan yang mereka tidak jangka.
"Begitu juga dengan perubahan dasar mendadak melibatkan skim-skim di bawah MARA, myBrain, penajaan PhD dan lain-lain.
"Malah saya terus mendapat aduan bahawa ramai pemohon pembiayaan MARA masih belum mendapat pembiayaan (dan ini) berbeza dengan kenyataan menteri dan Pengerusi MARA," katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu beliau membuka laman baru bagi pemohon yang terkesan dengan pembiayaan tersebut mengisi borang aduan agar isu itu dapat 'diperjuangkan' secara berkesan bermula minggu ini.
Pada November 2014, PTPTN mengumumkan hanya pelajar yang ibu bapa mereka merupakan penerima BR1M akan menerima pinjaman penuh PTPTN ekoran syarat ketat dikenakan badan itu.
PTPTN berkata keputusan itu dibuat berikutan kekangan dananya bagi menampung penambahan peminjam baru untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
Langkah tersebut menyaksikan pengurangan sebanyak 5 peratus bagi pinjaman di institusi pendidikan tinggi awam dan pengurangan sebanyak 15 peratus di institusi pendidikan swasta.
Mengikut kaedah itu jika data peminjam atau ibu bapa disenaraikan sebagai penerima BR1M, mereka akan menerima pembiayaan maksimum PTPTN. Bagi bukan penerima BR1M, sebanyak 75 peratus pembiayaan akan diberikan kepada keluarga yang pendapatan mereka tidak melebihi RM8,000.
Sebanyak 50 peratus pembiayaan lagi diberikan kepada keluarga pelajar yang mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM8,000.

