OSA: Tiada tindakan pada penjawat awam kerana kurang bukti
Tiada tindakan disiplin diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang melanggar Akta Rahsia Rasmi disebabkan kekekurangan bukti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman.
"Sehingga kini walaupun terdapat aduan mengenai perkara tersebut, belum ada pegawai awam yang telah diambil tindakan disiplin kerana tiada bukti kes yang merujuk kepada aduan tersebut.
"Namun demikian peringatan dan pemantauan berterusan sentiasa dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan kementerian.
"Menjadi tanggungjawab semua ketua jabatan sentiasa mengingatkan warga jabatan supaya semua dokumen/maklumat terperingkat kerajaan tidak dibocorkan, didedahkan, disebarkan, disiarkan dan disampaikan kepada pihak-pihak yang tidak perlu mengetahui dengan apa-apa cara sekalipun," katanya
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Kuala Lipis) yang ingin tahu apa tindakan yang diambil terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.

