Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi menyerahkan 'Deklarasi Kedah' yang menyatakan sokongan terhadap perdana menteri serta presiden Umno.

Deklarasi itu antaranya mendesak Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin Umno memecat anggotanya yang terlibat dengan Deklarasi Rakyat yang didakwa bersekongkol dengan pembangkang.

Pihak yang dinamakan dalam Deklarasi Kedah itu ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kami mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin Umno yang masih memegang jawatan khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersekongkol dan bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan perdana menteri yang dipilih secara demokratik," menurut deklarasi itu.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang ditemui pemberita selepas pertemuan bersama Najib berkata, deklarasi diserahkannya itu disokong semua Umno bahagian di Kedah.

"Kita buat deklarasi hari ini dengan kehadiran semua ketua Umno bahagian, ADUN, ahli parlimen Umno dan senator Umno termasuk ketua pemuda, Wanita, Puteri (Umno) negeri mewakili Kedah.

"Deklarasi ini dibuat untuk nyatakan pada orang ramai bahawa Kedah bersama dengan perdana menteri," katanya.