Seorang individu yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemui rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar di KM175.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke Bukit Merah, awal hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Bandar Baharu, Abdullah Abidin ketika dihubungi berkata mayat mangsa yang rentung ditemui di tempat duduk pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi pada kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya mayat mangsa dikeluarkan selepas anggota bomba mengambil masa lebih kurang 10 minit memadamkan kebakaran itu selepas tiba di tempat kejadian.

"Hasil laporan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa telah melanggar belakang sebuah treler yang sedang bergerak dari arah sama namun pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Abdullah berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

- Bernama