Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesawah NS disaran tangguh jadual tanam padi

Pesawah di Negeri Sembilan diminta untuk menangguhkan jadual penanaman padi sehingga tiba musim hujan berikutan fenomena cuaca panas melampau dan kering sekarang, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata penanaman semula padi yang dijadualkan pada Mac dan April perlu ditangguhkan ekoran bekalan air yang banyak diperlukan untuk menyalurkan bekalan air mentah ke rumah pam milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS).

"Kita telah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk nasihatkan pesawah (supaya) tunda tarikh penanaman padi sehingga musim hujan kerana kalau sudah mula tanam padi dalam masa satu ke dua bulan, sawah perlu dipenuhi dengan air.

"Untuk penuhkan air (di sawah), kita perlu pam air dari sungai untuk dimasukkan ke dalam sistem saliran Jabatan Pengairan dan Saliran bagi kegunaan sawah padi, sedangkan (dalam masa yang sama) kita memerlukan air mentah untuk lima rumah pam di sepanjang Sungai Muar dari Jempol hingga ke Gemas.

"Kita tidak boleh buat dua kerja dalam satu masa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Mengulas mengenai keadaan paras air di seluruh empangan di negeri ini, Mohamad berkata meskipun terdapat empangan yang kini berada pada paras kritikal, namun ia belum sampai ke tahap untuk catuan air dilaksanakan.

"Empangan yang berada pada paras kritikal ketika ini iaitu Empangan Gemencheh manakala empangan lain tidak berada pada paras kritikal tetapi kita pantau sebab berlaku penurunan paras air.

"Bagi Empangan Gemencheh, kita telah dapat sumber alternatif bekalan air mentah daripada loji air Sawah Raja. Bagi empangan Talang, kita ada rancang untuk lepaskan air pada minggu ini untuk meningkatkan paras air di Sungai Muar.

"Tetapi disebabkan adanya hujan, paras air di Sungai Muar sedikit bertambah, maka kita tidak lepaskan air," katanya.

Sementara itu SAINS hari ini mengadakan solat hajat memohon hujan berikutan penurunan paras air di Empangan Gemencheh.

Namun begitu, enam empangan lain masih berada dalam paras yang baik dan masih boleh membekalkan air mentah untuk kegunaan Loji Rawatan Air (LRA) dan dijangka mampu bertahan sehingga hujung bulan Jun.

Pengarah SAINS, Wan Rusdi Wan Ismail berkata antara langkah terakhir jika paras air di enam empangan itu mencapai tahap kritikal, pelepasan air akan dilakukan bagi memastikan air mentah dapat di pam oleh LRA.

"SAINS juga telah bekerjasama dengan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) untuk mengawal penggunaan air di sektor pertanian.

"Selain itu SAINS turut bekerjasama dengan Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan untuk mengawal seluruh aktiviti di sungai-sungai seperti aktiviti perlombongan pasir supaya tidak mengotorkan sumber air sungai yang akan mempengaruhi bekalan kualiti air mentah kepada loji-loji SAINS," kata Wan Rusdi.

Kira-kira 70 orang menyertai solat hajat yang diadakan di perkarangan empangan Sungai Terip termasuk kakitangan Sains dan pelajar Tahfiz Al-Falah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS