Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa Khairul Idham terima kasih pada PM, nafi terkilan
Diterbitkan:  Apr 6, 2016 7:52 PM
Dikemaskini: Apr 7, 2016 2:53 AM

Bapa pelumba Moto3 negara, Pawi Omar, menafikan terkilan dengan perdana menteri dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berhubung isu dana kepada anaknya sepanjang menceburi sukan pemotoran.

Sebaliknya, kata Pawi, beliau amat berbangga dan berterima kasih dengan penghargaan diberikan dan kesudian menteri berjumpa dan membantu anaknya Khairul Idham.

Pawi berkata demikian dalam kenyataan media dua perenggan bertulis tangan petang ini yang antaranya diedarkan oleh setiausaha akhbar Khairy.

“Saya ingin merujuk kepada kenyataan Malaysiakini yang diviralkan di dalam media massa.

“Kenyataan ini mengatakan bahawa saya selaku bapa kepada pelumba motor Idham Pawi terkilan kerana YAB perdana menteri dan YB menteri belia dan sukan hanya mengucapkan tahniah semata-mata.

“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak benar dan saya sebaliknya amat berbangga dan berterima kasih atas penghargaan yang telah diberikan serta ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian YB Khairy Jamaluddin untuk berjumpa serta membantu anak saya,” katanya.

Malaysiakini awal petang ini melaporkan Pawi meluahkan rasa terkilan kepada kerajaan susulan tiada sebarang dana disalurkan kepada anaknya sepanjang menceburi sukan pemotoran.

Malah menurut Pawi, sebaik Khairul Idham muncul juara Kejohanan MotoGP Dunia di Argentina Ahad lalu, hanya ucapan tahniah yang disampaikan kerajaan.

Bernama tidak berapa lama selepas itu melaporkan bahawa kerajaan Perak memberikan insentif RM100,000 kepada Khairul Idham sebagai mengiktiraf kejayaannya.

Khairul Idham melalui kategori Moto3 mencipta sejarah selepas berjaya menamatkan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina di tempat pertama.

Malaysiakini mempertahankan kesahihan laporan sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS