WSJ: Rizab Pusat AS peringatkan Goldman Sachs berkaitan urusan 1MDB
Rizab Persekutuan Amerika telah memperingatkan Goldman Sachs Group Inc mengenai kemungkinan risiko terhadap reputasi mereka berhubung dengan urusan yang mereka bantu lakukan untuk syarikat dana negara Malaysia, 1MDB, lapor Wall Street Journal (WSJ) hari ini.
WSJ melaporkan bahawa urusan tersebut semakin mendapat perhatian yang lebih jelas, apabila butiran tambahan muncul mengenai tindakan yang didakwa dilakukan oleh bekas ketua firma itu bagi Asia Tenggara yang mengendalikan transaksi untuk dana 1MDB.
Rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner digantung perkhidmatannya dan kemudian berhenti awal tahun ini, selepas didapati dia dikatakan telah menulis surat rujukan tanpa kebenaran bagi pihak ahli perniagaan kontroversi Jho Low, yang dikait rapat dengan 1MDB, demikian menurut laporan WSJ yang memetik orang yang biasa dengan perkara itu.
"Apabila ia mendedahkan mengenai penggantungan Mr Leissner, Goldman tidak menamakan Low.
"Hakikat bahawa Leissner menulis sepucuk surat rujukan kepada institusi kewangan lain bagi seseorang yang terlibat dalam 1MDB, meletakkan firma itu semakin jauh ke dalam kontroversi yang menyelubungi dana itu," kata peguam-peguam, lapor WSJ.
Leissner, yang bekerjasama dengan penyiasat, belum dituduh melakukan salah laku dalam urusan 1MDB.
Bagaimanapun, WSJ berkata, dia tidak memberi respons terhadap permintaan untuk mendapatkan komen tentang surat tersebut dan penglibatannya dengan Low.
1MDB disiasat dalam sekurang-kurangnya enam buah negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland.
"Penyiasat Amerika Syarikat cuba untuk menentukan sama ada Goldman mengelirukan pelabur yang membeli bon 1MDB, kata seorang yang biasa dengan perkara itu.
"Wall Street Journal telah melaporkan sebelum ini bahawa Goldman adalah sebahagian daripada siasatan meluas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman.
"Siasatan masih di peringkat awal, dan tiada tuduhan yang dibuat sama ada Goldman ataupun 1MDB telah melakukan kesalahan," lapor WSJ.

