PAC: Kontroversi 1MDB pengajaran buat semua GLC
Apa yang berlaku terhadap 1MDB harus menjadi pengajaran terhadap semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini, kata Jawatan Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Semua pihak harus memahami kepentingan amalan urus tadbir yang cekap dan berintegriti, menurut rumusan laporan PAC terhadap syarikat pelaburan negara sarat hutang itu.
“Pengalaman ini juga relevan kepada kerajaan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan,” rumusan dalam laporan 110 halaman itu dipetik.
Laporan yang ditunggu-tunggu itu dikeluarkan hari ini, tarikh terakhir sidang bagi sesi ini.
Sementara itu, laporan itu antaranya membangkitkan struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan Kumpulan 1MDB yang kurang memuaskan dan bergantung kepada hutang sebagai modal syarikat.
“Pada Januari 2016, hutang 1MDB mencecah RM50 bilion, berbanding aset RM53
bilion, di mana 1MDB membelanjakan sebanyak RM3.3 bilion untuk pembayaran faedah ke atas hutang antara 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015 (anggaran yang belum diaudit).
“Adalah jelas bahawa tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding dengan aliran tunai syarikat,” menurut laporan itu.
Hutang baru bayar hutang lama
Hasilnya, kata laporan itu, 1MDB bergantung kepada pembiayaan semula ( refinance ) untuk
pembayaran balik hutang matang dan mengambil hutang baru untuk, antara lain, pembayaran faedah hutang sebelumnya.
Selain itu, setelah meneliti laporan akhir Jabatan Audit Negara dan prosiding PAC, PAC mendapati beberapa amalan pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB menjurus kepada kelemahan tadbir urus.
Sebagai contoh, kata PAC, pihak pengurusan beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah atau mengambil tindakan sebelum kelulusan khusus.
Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci, tambahnya.

