Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihak tertentu perlu mempunyai asas sekiranya ingin mempertanggungjawabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap isu yang melanda 1MDB.

"Nak bertanggungjawab pun mesti ada asasnya. Dan asasnya saya kata tadi ada tiga perkara; proses rasionalisasi, akauntabiliti dan ketelusan. Ini prosesnya dan asalkan kita telus pada orang ramai.

"Kenapa nak tuding jari mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung gesaan anggota parlimen DAP Tony Pua supaya Najib bertanggungjawab dalam isu 1MDb memandangkan beliau memegang portfolio menteri kewangan.

Tak adil, kata Razali

Sementara itu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim ( gambar ) berkata, tidak adil sekiranya Najib dipersalahkan dalam isu melibatkan syarikat pelaburan tersebut.

Jelasnya, ini kerana anggota parlimen Pekan tersebut tidak terlibat dengan semua transaksi yang dibuat oleh 1MDB.

"Bagi saya untuk meletakkan Datuk Seri Najib sebagai tumpuan, itu tidak adil. Datuk Seri Najib terlibat dengan banyak perkara.

"Kita ada pihak pengurusan yang sepatutnya bertanggungjawab. Sebagai seorang menteri atau perdana menteri dia hanya boleh selia dan bagi pandangan, membantu dalam urus tadbir. Tetapi kita ada sebuah syarikat dan tidak dinamakan, dijadikan isu. Saya rasa tidak adil juga.

"Untuk dia seorang sahaja (disalahkan) saya fikir ia tidak adil yang mana dia tidak terlibat dalam setiap transaksi yang libatkan soal pengurusan dan pentadbiran syarikat," katanya.