Umno selamatkan sisa demokrasi
Perhimpunan khas Umno esok dilihat sebagai percubaan terakhir ahli-ahli parti itu untuk menyelamatkan sisa-sisa demokrasi.
Sejak lima tahun kebelakangan, ruang-ruang demokrasi dalam parti itu semakin terhakis atas alasan untuk mengelakkan perpecahan dan mengurangkan politiking.
Pemerhati menjangkakan perhimpunan itu tetap hangat walau Majlis Tertinggi telah mengalah kepada desakan daripada akar umbi. Setelah bantahan tempoh pemilihan lima tahun anggota MT diterima, fokus para perwakilan akan beralih kepada dua perkara yang tidak kurang pentingnya, iaitu usul menghapuskan sistem kuota bagi pencalonan jawatan-jawatan tertinggi dalam parti dan penubuhan Puteri Umno.
Mesyuarat MT semalam memutuskan untuk menggugurkan cadangan meminda tempoh pemilihan anggotanya (daripada tiga kepada lima tahun sekali) setelah ia mendapat bantahan hebat daripada sebahagian besar ketua bahagian Umno dan pergerakan Pemuda Umno negeri.
Bantahan paling lantang terhadap usul itu - yang disifatkan akan menyempitkan ruang demokrasi - datangnya dari Johor. Malah Ketua Bahagian Senai, Datuk Adam Hamid telah mengemukakan notis usul untuk membantah cadangan tersebut dan akan membentangkannya untuk perbahasan.
Pergerakan Pemuda Umno Johor dan Terengganu pula menyokong bantahan yang disuarakan oleh Adam. Malah Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein turut menyertai arus menentang pindaan terhadap tempoh pemilihan MT itu di saat-saat akhir walau sebelumnya hanya membisu.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu, MT menggugurkan cadangan pindan itu setelah menghalusi pandangan bahagian-bahagian.
Kelantangan ahli-ahli Umno termasuk pergerakan Pemudanya itu memeranjatkan pemerhati politik. Sebelum ini disangkakan ahli-ahli akan menerima sahaja secara membuta tuli segala yang disogok oleh para pemimpin atasannya.
"Sekurang-kurangnya keberanian Adam dan beberapa orang lain ketua bahagian menyuarakan secara terbuka bantahan mereka menafikan wujudnya sindrom bisu dalam parti," kata seorang pemerhati veteran.
Langkah mengalah lebih awal daripada MT juga memeranjat kerana selama ini sering ia mengetepikan pandangan akar umbi dan lebih gemar menjadi rubber stamp kepada suara pucuk pimpinan.
Usul kuota hangat
"Kita menjangkakan usul memanjangkan tempoh pemilihan MT itu akan dipertahankan hingga ke perhimpunan khas untuk diperbahaskan oleh para perwakilan. Nampaknya MT telah mengangkat bendera putih kerana mereka tahu sentimen menentang usul tersebut sangat kuat," tambahnya.
"Mungkin mahu mengelakkan perbahasan yang hangat dan mahu menyelamatkan air muka, cadangan itu digugurkan segera.
"Ia mungkin juga merupakan taktik untuk menunjukkan kepada ahli-ahli parti bahawa pucuk pimpinan parti peka dan akur pada kehendak majoriti."
Walau nampak selesai episod tempoh pemilihan MT, namun ia tidak menjamin menyejukkan suhu perhimpunan khas itu kerana beberapa perkara lain seperti kuota pencalonan untuk pemilihan anggota MT dan penubuhan sayap baru, Puteri Umno, masih mahu dikekalkan.
Adam akan meneruskan cadangannya untuk membawa usul meminta syarat kuota pencalonan anggota MT dihapuskan dan penubuhan Puteri Umno dikaji semula.
Beliau juga akan membentangkan usul menyokong cadangan memberikan kuasa mengundi diperluaskan kepada 30,000 ahli di peringkat cawangan, selama ini kepada kira-kira 2,000 perwakilan di perhimpunan tahunan.
Cadangan memberi hak mengundi kepada ahli-ahli dijangka akan diterima sebulat suara kerana ia memperluaskan ruang demokrasi dalam parti dan mengiktiraf hak ahli akar umbi menentukan pucuk pimpinan.
Usul menghapuskan kuota pencalonan anggota MT juga dijangka akan diluluskan oleh para perwakilan setelah pengalaman dalam pemilihan yang lalu membuktikan peraturan itu menghalang kebebasan ahli untuk bertanding.
Kesannya, Tengku Razaleigh Hamzah telah tersekat daripada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan Mei lalu kerana tidak menerima pencalonan yang secukupnya.
Presiden, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, terselamat walaupun arus perubahan deras.
Usul ini dijangka akan mendorong perbahasan yang hangat. Seorang ahli MT berpendapat, peluang untuk usul ini berjaya atau gagal adalah seimbang.
Puteri dan Wanita
"Perwakilan terutamanya dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Pahang cenderung untuk mempertahankan peraturan ini atas alasan mengelakkan perpecahan dalam parti apabila dua jawatan tertinggi dipertandingkan.
"Perwakilan negeri lain khususnya Johor, Kelantan, Terengganu dan Sabah pula condong untuk menyokong pendirian Adam. Saya sendiri suka jika peraturan itu dihapuskan kerana ia akan mewujudkan demokrasi yang lebih bermakna," jelasnya.
Beliau menambah, jika Presiden dan Timbalan Presiden mendapat mandat secara demokrasi dan teruji kepimpinannya, parti dan individu itu sendiri akan lebih dihormati oleh kawan dan lawan.
Ahli MT itu tidak percaya pertandingan di peringkat tertinggi akan memecahkan parti kerana ahli-ahli Umno sudah cukup matang.
"Demokrasi dalam Umno mesti dipulihkan segera jika kita mahu parti ini terus mendapat sokongan orang Melayu," tegasnya.
Penubuhan Puteri Umno yang masih terawang-awang juga dijangka akan diperbahaskan secara terperinci, bukan sahaja oleh para perwakilan wanita, malah kaum bapa.
Ramai ketua bahagian berfikir penubuhan Puteri Umno - sebagai sayap yang berasingan daripada Wanita - tidak relevan kerana ia akan memecah kan perpaduan ahli, khususnya wanita.
Mereka percaya jika sayap baru itu ditubuhkan, wujud pula persaingan tidak sihat antara Wanita dan Puteri yang boleh membawa kesan negatif kepada parti.
"Sebarang persaingan dalaman akan melebarkan jurang perpecahan yang sedia wujud. Apabila kita saling bercakaran, tentunya matlamat untuk menarik ahli-ahli baru daripada kalangan wanita muda dan terpelajar akan terjejas.
"Oleh itu lebih baik cadangan penubuhan Puteri Umno dikaji semula. Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," kata seorang ketua bahagian dari Pahang.
Perhimpunan khas beberapa jam lagi ini menunjukkan Umno berada di persimpangan - untuk kekal sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan majoriti ahlinya atau hanya untuk segolongan kumpulan elit.
Terserahlah kepada ahli-ahli Umno untuk menentukan masa depan mereka.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.