Uber setuju selesaikan saman dakwaan kelirukan pelanggan
Uber Technologies Inc bersetuju dengan penyelesaian satu saman di California yang menuduh syarikat itu mengelirukan pelanggan berhubung ketepatan pemeriksaannya ke atas latar belakang pemandu, kata pendakwa di Los Angeles dan San Francisco, hari ini.
Uber perlu membayar AS$10 juta dalam tempoh 60 hari, dan baki AS$15 juta akan diketepikan jika Uber mematuhi syarat-syarat perjanjian selama dua tahun, kata peguam daerah San Francisco dan Los Angeles dalam satu kenyataan.
"Ia menghantar mesej yang jelas kepada semua perniagaan, dan untuk syarikat baru khususnya, bahawa dalam usaha untuk cepat memperolehi perkongsian pasaran, undang-undang yang digubal untuk melindungi pengguna tidak boleh diabaikan," kata peguam daerah San Francisco George Gascon.
Uber menyambut baik penyelesaian itu. "Kami gembira untuk selesaikan kes ini dan teruja untuk melipatgandakan usaha kami untuk berkhidmat kepada penumpang dan pemandu di seluruh California," katanya dalam satu kenyataan.
Kes itu difailkan pada Disember 2014 oleh peguam dua daerah tersebut, yang mendakwa Uber telah mengelirukan pelanggannya mengenai ketepatan pemeriksaannya terhadap latar belakang pemandu.
Aduan awam juga mendakwa bahawa pemandu Uber bekerja di lapangan terbang tanpa kebenaran, dan dalam kes di San Francisco, mengenakan bayaran tambahan AS$4 kepada penumpang ke sana, tanpa membayar apa-apa kepada lapangan terbang.
Perjanjian itu melarang Uber daripada membuat kenyataan yang tidak benar mengenai pemeriksaan latar belakang itu dan dilarang mengenakan "tol' lapangan terbang. Di samping itu, syarikat itu mesti memastikan pengiraan tambang memenuhi piawaian pengukuran negeri.
Uber berkata ia telah membuat banyak perubahan, termasuk tidak lagi memanggil perkhidmatannya sebagai yang "paling selamat di jalan raya" atau memanggil semakan latar belakangnya itu sebagai "standard emas".
Sebuah lagi syarikat, Lyft, telah menyelesaikan saman yang sama yang difailkan oleh peguam daerah berkenaan pada Disember 2014, dengan bersetuju membayar penalti sivil sehingga AS$500,000.
Pengkritik berkata pemeriksaan latar belakang oleh Lyft dan Uber tidak cukup menyeluruh untuk mengelakkan pemandu yang berbahaya.
Houston adalah antara bandaraya pertama AS yang memerlukan pemandu menjalani pemeriksaan latar belakang berasaskan cap jari dengan menggunakan pangkalan data FBI.
Sejak ordinan ini berkuat kuasa pada 2014, pihak berkuasa mendapati pemandu yang melepasi pemeriksaan Uber, pernah dituduh melakukan jenayah termasuk pembunuhan, penipuan, rompakan dan serangan seksual.
Majlis Bandaraya Atlanta juga sedang mempertimbang menggubal satu ordinan yang memerlukan pemeriksaan melalui cap jari pemandu Uber yang mahu mendapatkan lesen bagi mengambil penumpang di lapangan terbang. [Baca berita penuh]
- Reuters

