Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan bidasan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kali ini menyentuh mengenai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Akta Rahsia Rasmi, saya percaya, ianya adalah untuk menghukum sesiapa yang membocor dokumen-dokumen pentadbiran Kerajaan mengenai dasar-dasar, kertas-kertas Kabinet dan cukai.

"Akta tersebut adalah untuk menghalang maklumat daripada dipergunakan oleh individu-individu, syarikat-syarikat atau kerajaan-kerajaan asing bagi kelebihan mereka.

"Ianya bukanlah bertujuan untuk menyimpan rahsia jenayah-jenayah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai, pekerja-pekerja atau individu-individu. Jenayah-jenayah sebegini haruslah dilaporkan atau didedahkan oleh sesiapa sahaja yang mengetahuinya. Perbicaraan-perbicaraan jenayah harus menyusuli," tulis beliau dalam blognya hari ini

Bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa mengatakan bahawa jenayah yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan adalah rahsia kerajaan yang sepatutnya disembunyikan dari mata awam, dengan menyatakan bahawa ia seolah-olah telah menjadi satu trend bagi sesiapa yang melaporkan jenayah akan didakwa di bawah OSA atau lebih teruk lagi, dituduh mensaboj ekonomi di bawah undang-undang keganasan.

"Saya ingin mendengar peguam negara menyatakan dengan mutlak bahawa jenayah seperti menyalahgunakan dana-dana kerajaan adalah rahsia Kerajaan yang perlu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Penjelasan untuk perkara ini adalah penting kerana peguam negara ditugaskan untuk menghantar kes-kes ke mahkamah untuk pengadilan.

"Dengan itu orang awam akan faham mengapa beliau menolak laporan oleh Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan mengapa beliau tidak membenarkan kandungan laporan-laporan tersebut dilihat oleh sesiapa pun. Dan juga penulis-penulis laporan nampaknya tidak dibenarkan untuk bercakap mengenai laporan-laporan tersebut," tulis Dr Mahathir, seperti biasa, dalam nada menyindir.

[Baca berita penuh]