Rahman ingatkan LGE tidak tarik balik persetujuan berdebat
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya tidak menarik balik persetujuannya untuk berdebat berhubung kontroversi Taman Manggis.
Ini selepas Lim dipetik oleh organ kerajaan Pulau Pinang - Buletin Mutiara - sebagai berkata beliau memberikan Abdul Rahman sehingga Sabtu ini (16 April) untuk berdebat dengannya.
Abdul Rahman telah berlepas untuk lawatan rasmi ke luar negara dan hanya akan kembali pada 18 April.
Melalui twitter, Abdul Rahman berkata mengapa mahu menyukar perdebatan tersebut dengan meletak syarat-syarat.
Katanya, rakyat Pulau Pinang mahu mendengar perbahasan itu dan isu tersebut tidak akan hilang walaupun selepas 16 April.
Lim dalam laporan itu berkata, beliau kecewa kerana Abdul Rahman telah ke luar negara selepas bersetuju dengan perdebatan tersebut.
Katanya, beliau menerima cabaran itu pada 7 April dan berkata tidak sabar menantinya.
Bagaimanapun, katanya, Abdul Rahman kini ke luar negara, dan beliau merasakan seperti dipermainkan.

