Pelajar tingkatan 4 ditahan bantu siasatan kes buli
Seorang pelajar tingkatan empat dari Pengkalan Chepa, ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli pelajar tingkatan tiga dari sekolah yang sama Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Ahmad Taufek Abdullah berkata pelajar berusia 16 tahun itu ditahan pukul 11.30 pagi semalam di satu lokasi berdekatan Pengkalan Chepa tetapi bukan di sekolah.
"Kita akan menjalankan siasatan bagi mendapat tahu punca kejadian sebelum siasatan lanjut dilakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Kota Bharu semalam.
Ahmad Taufek berkata setakat ini hanya seorang pelajar ditahan dan akan disoal siasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
"Sehingga kini (semalam) polis belum mendapatkan keterangan daripada mangsa yang masih trauma dengan kejadian terbabit," katanya.
Dalam kejadian itu, Aiman Hazim Zulkeflee, 15, retak tulang lehernya selepas disyaki dibuli pelajar itu.
Akibat kejadian itu, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa guru ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Dalam perlawanan akhir kejohanan futsal itu, pasukan Kelantan, The Red Cops berjaya mempertahankan kejuaraan dengan menundukkan kontinjen Selangor dengan jaringan 3-2.
- Bernama

