Tiada ancaman 'laporan minoriti’ dari ahli PAC pembangkang
Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata berbeza ketika beliau menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), pembangkang tidak mengancam untuk mengeluarkan "laporan minoriti" berhubung siasatan mereka ke atas 1MDB.
"Semasa saya dalam PAC, ahli PAC pembangkang biasanya mengancam untuk menulis 'laporan minoriti' apabila mereka tidak bersetuju dengan laporan akhir.
"Nampaknya, kali ini tidak ada ancaman seperti itu oleh ahli PAC pembangkang," katanya dalam Twitter.
Justeru, Abdul Rahman mempersoalkan bagaimana pemimpin pembangkang tertentu boleh mendakwa diri mereka sebagai "80 peratus atau 60 peratus" berpuas hati dengan laporan akhir PAC itu.
Abdul Rahman berkata penyediaan laporan akhir adalah memakan masa dan biasanya akan melalui perbahasan di kalangan anggotanya.
"Setiap perkataan diteliti dan dipersetujui.
"Oleh itu, tidak ada perkara seperti 80 peratus atau 60 peratus berpuas hati. Sama ada anda berpuas hati 100 peratus atau tidak menandatangani laporan akhir.
"Jika ahli benar-benar mahu hujah mereka dimasukkan ke dalam laporan akhir, dia mesti tegaskan perkara berkenaan ketika itu. Bukan selepas laporan itu siap," katanya.
Abdul Rahman juga berkata bahawa ahli PAC tidak boleh mengkritik laporan akhir, kerana mereka juga adalah sebahagian daripadanya dan membidas laporan itu ibarat mengkritik diri sendiri.

