BERITA Malaysiakini

Ahli PAC: Kami tak sebut tiada salah laku, ada tunai hilang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Wakil rakyat dari pihak pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menolak sekeras-kerasnya kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin yang menyebut tiada bukti salah laku atau tiada wang yang hilang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di sebalik kenyataan itu, anggota PAC yang terdiri daripada 5 Ahli Parlimen pembangkang berkata, laporan PAC menunjukkan bahawa berbilion ringgit mengalir keluar dari 1MDB dan tidak dipertanggungjawabkan.

"Justeru, kami menggesa Pengerusi PAC menarik semula kenyataan beliau kerana ianya tidak berasas, tidak mencerminkan pandangan PAC secara keseluruhan dan berunsur penipuan.

"Kami berharap agar Pengerusi PAC tidak menyalah gunakan kedudukan beliau sebagai ketua jawatankuasa parlimen untuk BN dan kepentingan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata kumpulan tersebut.

Selain Tan Seng Giaw selaku Timbalan Pengerusi PAC, kenyataan bersama itu turut dikeluarkan secara bersama dengan Datuk Kamarul Baharin Abas, William Leong, Datuk Takiyuddin Hassan dan Tony Pua.

Mengulas lanjut, penemuan PAC itu, jelas mereka, adalah bercanggah dengan dakwaan Hasan yang kononnya berpandukan kepada Laporan Ketua Audit Negara.

“Kami juga terkejut dan kecewa apabila Laporan Ketua Audit Negara langsung tidak dibentangkan di Parlimen, bersama-sama laporan PAC mengenai 1MDB, yang sepatutnya berlaku,” tambah mereka dalam kenyataan itu.

Pada masa yang sama, PAC juga mahu pihak polis melakukan siasatan kerana 1MDB dan Kementerian Kewangan tidak menyerahkan penyata akaun bank dan dokumen untuk mengesahkan pemilikan firma-firma asing yang terlibat, jelas mereka.

Sejumlah AS$7 bilion tunai dan aset cair 1MDB tidak dapat disahkan.

“Ini menimbulkan kebimbangan setelah 'pelaburan' dan tunai 1MDB hilang tanpa dapat dikesan,” kata anggota-anggota PAC pembangkang itu.

Jumlah berkenaan ialah :

AS$1.03 bilion yang dibayar kepada Good Star Ltd, yang turut dipersoalkan oleh Bank Negara Malaysia;

AS$3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Ltd sebagai “deposit sekuriti”, “pembatalan opsyen” dan “sekuriti nilai ditambah”;

AS$940 juta dalam “unit” di BSI Bank, Singapura ; dan

AS$1.56 bilion dalam pelaburan oleh 1MDB Global Investment Ltd.