Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas mufti Perlis antara calon BN Sarawak
Diterbitkan:  Apr 12, 2016 4:51 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya antara calon BN yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Pemilihan Juanda, bekas felo di pusat pengajian terkemuka Universiti Oxford, diumumkan bersama 10 lagi calon lain dalam sebuah acara di Kuching hari ini.

Juanda dipilih mewakili BN di kerusi Jemoreng.

Jemoreng merupakan sebuah kampung di daerah Matu, Sarawak. Penduduknya terdiri dari kaum Melanau yang beragama Islam.

Kegiatan ekonomi utama bagi penduduk adalah aktiviti pertanian. Ini termasuklah mengusahakan padi huma, pertanian sayur dan buah-buahan serta penternakan lembu, itik dan ayam.

Kerusi itu sebelum ini dimenangi Abu Seman Jahwie, yang juga setiausaha politik kepada ketua menteri Sarawak, yang tidak dipilih bertanding lagi kerana faktor kesihatan.

Pada 2011, Abu Seman mendapat 4,505 undi mengalahkan calon bebas Abdul Hafiz Noh (1,579 undi) dan Asbor Abdullah (77 undi). Jemoreng mempunyai 8,635 pemilih berdaftar.

Juanda, berbangsa Melanau, dilahirkan di Sibu. Beliau memegang jawatan mufti Perlis bermula Januari 2009 selama dua tahun.

Sebelum ini beliau pernah diura-urakan akan bertanding di DUN Kangar mewakili parti PKR pada pilihan raya umum ke-13, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Tujuh lagi calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ialah:

  • Datuk Idris Buang (Muara Tuang)
  • Awla Dris (Simunjan)
  • Shafiee Ahmad (Daro)
  • Mohd Chee Kadir (Kabong)
  • Jefferson Jamit Unyat (Bukit Goram)
  • Datuk Abdul Wahab Aziz (Kalaka)
  • Datuk Ambrose Blikau (Katibas)

Kerusi Kabong dan Bukit Goram adalah dua daripada 11 kerusi baharu dalam pilihan raya negeri ini.

Tiga lagi calon langsung ialah Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja) dan Gerawat Jala (Mulu).

Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB dilaporkan berkata, setakat ini kesemua bakal calon untuk 40 kerusi yang akan ditandingi PBB telah diumumkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS