Tabung Haji nafi terbabit dalam pembayaran pinjaman PTPTN
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menafikan pembabitannya dalam pendebitan keluar wang dari akaun simpanan pendeposit TH bagi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah disebarkan melalui media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata maklumat yang disebarkan adalah tidak benar dan berunsur fitnah terhadap institusi berkenaan.
"TH tidak ada sebarang usaha sama berkaitan pembayaran pinjaman dengan PTPTN. Semua pendebitan wang keluar dari akaun pendeposit perlulah dengan arahan dan persetujuan pendeposit sendiri," menurutnya.
Bagaimanapun, pihak terbabit dalam perkara itu telah tampil memohon maaf kepada TH pada hari ini melalui surat dan juga laman sosial.
TH menyeru orang ramai agar menyelidik terlebih dahulu kebenaran dan ketepatan maklumat yang hendak disebarkan kerana penyebaran maklumat yang tidak tepat seperti itu memberi kesan negatif kepada TH serta mengelirukan para pendeposit.
Sehubungan itu, TH meminta pihak terbabit menghentikan penyebaran maklumat tersebut di media sosial.
"Langkah ini adalah wajar bagi menjaga kepentingan para pendeposit dan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di Malaysia," menurutnya.
- Bernama

