BERITA Malaysiakini

Dakwaan berbilion dana 1MDB lenyap: PAC harus siasat - Bung

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin mahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengenal pasti jika berbilion ringgit telah lenyap dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membuat bayaran kepada firma Aabar BVI.

Ianya merupakan susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) firma milik Abu Dhabi dan anak syarikatnya kepada Bursa Saham London, menyatakan Aabar BVI bukan sebuah entiti dalam kumpulan korporatnya.

Walau bagaimanapun, 1MDB berkata, adalah sangat mengejutkan apabila wujud kenyataan sebegitu : “IPIC mahupun Aabar tidak tahu mengenainya, atau tidak meraih manfaat hasil bayaran 1MDB kepada Aabar BVI”, kerana rekod menunjukkan Aabar BVI adalah milik bersama IPIC dan Aabar.

Bung berkata semalam, PAC seharusnya menjadi platform yang betul untuk menyelesaikan isu tersebut dan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy harus menyediakan butiran mengenainya.

"Maklum balas saya sangat jelas. Saya mahu ianya diselesaikan menerusi saluran yang betul. Arul Kanda patut jawab dahulu, sama ada dia sedar atau tidak kalau-kalau wujudnya dana yang lenyap. Sekiranya ada asas kepada tuduhan itu, langkah seterusnya (kita harus) membentangkan perkara ini kepada PAC sekali lagi," katanya kepada Malaysiakini.

PAC boleh menyiasat tuduhan baru berkaitan 1MDB walapun telah memuktamadkan siasatan 11 bulan yang telah diserahkan kepada Parlimen pada 7 April yang lalu, kata Bung.

Akan bangkitkan isu pada sidang berikutnya

"Saya akan bangkitkan isu ini pada sidang Parlimen akan datang (bermula 16 Mei)," katanya, sambil menambah beliau juga mahukan jawapan.

Beliau turut mengakui keperluan untuk mengendalikan hal itu sebelum ianya menjadi topik yang hangat.

1MDB telah membayar AS$3.51 bilion kepada British Virgin Islands diperbadankan Aabar Investment PJS (Aabar BVI) dalam bentuk cagaran, opsyen pampasan pembatal dan bayaran 'sekuriti nilai ditambah' yang tidak jelas walaupun wujudnya keraguan berhubung siapa pemilik Aabar BVI, yang menyamai nama anak syarikat IPIC.

Ia merupakan sebahagian urusniaga pada tahun 2012 yang mana IPIC memberi jaminan AS$3.5 bilion dalam bentuk bon dikeluarkan oleh 1MDB, dalam pertukaran kepada 49 peratus kepentingan dalam aset penjana kuasa dan bayaran cagaran 1MDB.

Pihak pembangkang mempersoalkan jika berbilion ringgit dana 1MDB telah disalur keluar dari firma berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw percaya perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat jawatankuasa akan datang.

Maklumat berkaitan Aabar BVI dan aset serta aliran tunai antarabangsa 1MDB tidak didedahkan kepada PAC semasa siasatan keseluruhan 1MDB, Tan menambah.

Belanjawan 2020
  • Infografik
    Carta & Graf
  • Kuiz
    Apa anda dapat?
  • Undian
    Suka atau tidak?
  • Laporan langsung
    Laporan langsung kami